|
Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long menunjukkan 10,175 kilogram (kg) minyak paket bersubsidi untuk diseludup ke negara jiran, menerusi serbuan awal pagi berhampiran Jambatan Kampung Kubang Panjang, Tumpat semalam. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup 10,175 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran, menerusi serbuan awal pagi semalam.
Dalam serbuan jam 4 pagi berhampiran Jambatan Kampung Kubang Panjang, Tumpat, Kastam turut menahan dua lelaki tempatan iaitu pemandu lori dan pembantunya yang berusia awal 30-an.
Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata pihaknya menjalankan intipan selama 14 hari sebelum serbuan dilakukan.
"Hasil siasatan mendapati bekalan minyak terbabit bernilai RM20,350 itu dipercayai dari Ipoh, Perak dan untuk diseludup ke negara jiran.
"Selain bekalan minyak masak, kita turut merampas sebuah lori jenis Isuzu yang dianggarkan bernilai RM70,000," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail.
Mengulas lanjut katanya, modus operandi yang digunakan kumpulan sindiket berkenaan adalah dengan menghantar bekalan minyak masak itu melalui pangkalan haram.
"Sindiket berkenaan juga menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk disimpan sebelum diseludup ke Thailand.
"Hasil soal siasat juga mendapati pemandu dan pembantunya menerima upah RM300 untuk menghantar bekalan minyak masak berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Sementara itu, Azman berkata, pihaknya sudah menjangkakan permintaan terhadap minyak masak paket bersubsidi dari negara jiran semakin tinggi ketika Ramadan.
Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan dan pemantauan daripada pihaknya akan ditingkatkan dan diperketatkan terutama di kawasan sempadan iaitu Tumpat, Rantau Panjang serta Tanah Merah.
"Beberapa faktor yang menyumbang kepada kegiatan penyeludupan minyak subsidi ke negara jiran adalah faktor halal dan harga murah," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ket-subsidi-ke-siam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|