View: 5377|Reply: 0
|
Selamatkan sukan negara atau Sukan Komanwel?
[Copy link]
|
|
Majlis perasmian Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
SELEPAS berlegar spekulasi mengenai Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia akhirnya menamatkan khabar angin itu apabila secara rasmi mengesahkan mengenai tawaran berkenaan semalam.
Tawaran itu harus dianggap penghargaan daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) terhadap kemampuan Malaysia untuk menyelamatkan temasya berkenaan.
Ini selepas Victoria, sebuah negeri di Australia yang diberi hak menganjurkannya menarik diri kerana tidak mampu menanggung kos peningkatan mengelolakannya.
Berdasarkan rekod, ini bukan pertama kali CGF pernah dipalit isu ketiadaan tuan rumah kerana perkara sama pernah berlaku pada 2022.
Ia selepas bandaraya Durban, Afrika Selatan ditarik hak selaku tuan rumah berikutan isu kewangan namun Birmingham tampil menjadi 'bidan terjun' selaku penganjur edisi ke-22.
Dan kini dilema sama menghimpit CGF dan penyelesaian segera perlu dicari andai mahu temasya 2026 berlangsung seperti dalam perancangan.
Susulan tawaran CGF kepada Malaysia, perbincangan mengenai perkara itu hangat diperkatakan dengan ramai yang mahu Malaysia mengambil peluang keemasan itu dan tidak kurang juga mahu kerajaan menolaknya.
Pelbagai alasan diberikan untuk menyokong pandangan masing-masing tetapi dari segi pelancongan, tawaran menganjurkan temasya itu boleh diibaratkan sebagai 'pucuk dicita ulam mendatang'.
Ini kerana secara kebetulan Tahun 2026 diumumkan sebagai Tahun Melawat Malaysia dan sudah pasti dengan penganjuran temasya itu mampu menarik kedatangan pelancong dan memberi nilai tambah dalam memperkenalkan Malaysia kepada dunia.
Malah, dari segi kepakaran dan pengalaman dalam mengelolakan acara sukan, kepakaran kita tidak boleh disangkal lagi kerana sudah terbukti apabila berjaya menganjurkan temasya itu pada 1998 termasuk Sukan SEA dan kejohanan bertaraf antarabangsa lain.
Namun, beberapa faktor lain terutamanya modal dalam mengelolakannya harus menjadi pertimbangan utama.
Walaupun CGF memberi tawaran berkenaan berserta dana RM602 juta, tetapi sebenarnya ianya tidak mencukupi kerana kos menganjurkannya dijangka mampu mencecah RM5 bilion hingga RM10 bilion.
Betul, kita tidak perlu membina stadium baharu, tetapi kemudahan yang ada kebanyakan dibina ketika kita menganjurkan Sukan Komanwel 1998, sudah tentu memerlukan ia dibaik pulih dan dinaiktaraf.
Malah, tempoh dua tahun untuk mengelolakan adalah satu tempoh yang singkat terutama untuk penyediaan dan persiapan atlet.
Ketika kita tidak lagi mempunyai ramai bintang sukan yang mampu disandarkan harapan, atlet muda kita pula ketika ini kurang menonjol.
Jadi, sudah tentu kita tidak mahu hanya gah dipuji sebagai penganjur terbaik tetapi prestasi atlet kita 'kelaut'.
Ketika kita menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998, kita merancang program persiapan dan penyediaan atlet selama sedekad yang diberi nama Jaya '98.
Program ini berjaya apabila kita berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan dengan 10 emas, 14 perak dan 12 gangsa yang berjumlah 36 kesemuanya dan ini telah menyamai keseluruhan pingat yang diperoleh kontinjen negara sejak dari tahun 1950 hingga 1994.
Malah, limpahan daripada program itu kita berjaya meningkatkan pencapaian di Sukan SEA, Asia dan Komanwel selepas itu.
Namun, selepas sebahagian besar atlet program Jaya '98 bersara kerana faktor usia dan cedera, prestasi sukan negara mula merudum dengan beberapa detik hitam dalam sejarah sukan negara mula tercipta hingga kedengaran alasan-alasan menggelikan hati dan menjadi bahan jenaka daripada pemegang taruh dalam menjawab puncanya.
Jika semua tidak lupa, sehingga hari ini juga kita masih lagi teraba-raba pingat emas pertama di Sukan Olimpik dan adakah kita tidak merasa malu dengan jiran - Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam - yang sudah menuai emas pada temasya berprestij itu.
Justeru, keutamaan kita ketika ini bukannya menganjurkan temasya sukan, sebaliknya dana berbilion yang mahu digunakan untuk menjadi tuan rumah itu boleh disalurkan untuk persiapan dan penyediaan atlet memburu emas di Sukan Olimpik 2028 dan 2032.
Kesimpulannya, sebenarnya kita memerlukan program jangka panjang seperti Jaya '98 untuk selamatkan kemalapan sukan negara ketika ini untuk menghasilkan atlet bertaraf dunia sekali gus menamatkan penantian emas Olimpik.
Apapun, bola kini di kaki kerajaan untuk membuat pertimbangan dan keputusan, mahu selamatkan kemalapan sukan negara atau Sukan Komanwel?
https://www.bharian.com.my/sukan ... atau-sukan-komanwel |
|
|
|
|
|
|
| |
|