CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 26679|Reply: 0

[Perlis] Penilaian menyeluruh pendidikan vernakular hanya mahu bawa Bahasa Cina, Bahasa Tamil dipelajari secara bersama

[Copy link]
Post time 10-3-2024 06:04 PM | Show all posts |Read mode
Penilaian menyeluruh pendidikan vernakular hanya mahu bawa Bahasa Cina, Bahasa Tamil dipelajari secara bersama


Oleh Aizat Sharif - Mac 10, 2024 @ 4:59pm  bhnews@bh.com.my




Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh. NSTP/Amir Mamat




PADANG BESAR: Gesaan penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular dengan menerapkan nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukanlah mahu 'menghapuskan' Bahasa Cina atau Bahasa Tamil daripada terus diajar di sekolah.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata sebaliknya gesaan itu mahukan kedua-dua bahasa berkenaan menjadi subjek pilihan untuk dipelajari oleh setiap murid di setiap sekolah kebangsaan di negara ini.

Beliau menjelaskan cadangannya adalah apa juga sukatan pelajaran atau silibus yang dipelajari di sekolah vernakular Cina atau Tamil, boleh juga diajar di sekolah kebangsaan agar ia dapat dipelajari bersama pelajar Melayu, Cina dan India.

"Cadangan kita adalah apa yang dipelajari di sekolah Cina dan India, masukkan silibusnya bersama sebagai subjek pilihan agar anak Melayu boleh belajar Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dan pada masa sama biar anak Cina boleh belajar Bahasa Melayu dan Tamil dengan baik. Begitulah sebaliknya kepada anak India.

"Ini tidak menjadi masalah. Kita bukan mahukan pelajar Cina dan India tidak boleh bercakap langsung bahasa ibunda mereka, sebaliknya kita hendak bagi mereka ini kebersamaan dan jika orang kata mungkin sekolah Cina bagus, jadi apa salahnya ajarlah sekali anak Melayu dan anak India di sekolah kebangsaan.

"Mengapa tidak boleh, adakah pembelajaran Bahasa Cina itu khas untuk sekolah Cina sahaja. Biarlah ia diajar dan diasimilasikan bersama. Benda yang baik kita kongsikan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar di Chuping, di sini hari ini.

Muhamad Akmal sehubungan itu meminta bekas pemimpin kanan DAP, Dr P Ramasamy menilai semula pemikirannya dalam mengagungkan sekolah vernakular kerana tidak ada negara di dunia yang menjalankan sekolah pelbagai jenis.

"Malah, Dr P Ramasamy yang selama ini begitu mengagungkan sistem pendidikan Singapura juga pun boleh melihat bawa sistem pendidikan vernakular sudah pun tiada lagi dipraktikkan di negara itu sejak 1985.

"Apabila kita hendak bercakap mengenai perpaduan, ia perlu dipupuk sejak kecil melalui pendidikan. Kalau semua berkata penjawat awam perlu dibuka lebih luas kepada bukan Bumiputera, orang Melayu tidak ada masalah. Kita terima sahaja tetapi kali ini kalau hendak bercakap soal perpaduan, kita mulakan dengan pendidikan.

"Kita tidak pernah bermaksud untuk menghapuskan langsung, sebaliknya kita mahu berkongsi menjadikan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil ini sebagai subjek pilihan.

"Malah, malah anak saya sendiri saya hantar untuk belajar Bahasa Mandarin dan disebabkan inilah saya hendak melihat bahawa kebersamaan kita mestilah bermula dari peringkat pendidikan dan peringkat bawah,' katanya.

Beliau berkata, mungkin sebelum ini tidak ramai berani untuk melaksanakan langkah seperti ini tetapi inilah zaman generasi baharu yang hendak mewujudkan kebersamaan menerusi perpaduan dari peringkat sekolah rendah.

"Malah, menerusi langkah inilah saya hendak melihat semula, bagaimana hendak membangunkan sesebuah bangsa kerana masih ramai yang sudah 30 hingga 40 tahun duduk di Malaysia tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu dan masih duduk dalam kelompok tertentu," katanya.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 06:26 PM GMT+8 , Processed in 0.056526 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list