CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11557|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Kebenaran melombong di tanah persendirian perlu dipantau rapi elak timbul pelbagai risiko - Pakar

[Copy link]
Post time 9-3-2024 04:18 PM | Show all posts |Read mode

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Aktiviti perlombongan yang tidak dikawal boleh mengakibatkan risiko tanah menjadi kurang subur dan stabil, pencemaran dan mengganggu ekosistem setempat.

Ketua Penyelidik GeoForenSIG, Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ir Dr Ismacahyadi Bagus Mohamed Jais berkata, penduduk berhampiran kawasan dilombong juga akan terjejas seperti pencemaran bunyi, udara dan air jika perlombongan mineral tidak dipantau dan dikawal dengan berkesan.

Justeru, beliau menjelaskan, pihak berkuasa yang bertanggungjawab meluluskan aktiviti perlombongan di mana-mana kawasan tanah persendirian perlu melaksanakan pemantauan dengan cekap dan baik serta mengambil kira kesan jangka panjang.

Beliau berkata, pemantauan perlu dibuat terlebih dulu supaya aktiviti dapat dilakukan secara terkawal dan tidak mengganggu aktiviti setempat seperti yang termaktub mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Enakmen atau Ordinan Perlombongan Negeri.



Ini kerana, katanya, aktiviti melombong mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri.

"Antara kesan aktiviti perlombongan yang tidak terkawal adalah tanah menjadi kurang subur dan stabil, pergerakan pemindahan bahan mineral menyebabkan isu kebersihan dan tidak teratur serta boleh mengganggu ekosistem setempat manakala penduduk berhampiran pula akan terjejas seperti pencemaran bunyi, udara dan air jika perlombongan mineral tidak dipantau dan dikawal," katanya kepada BH, hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana pemilik tanah persendirian yang mempunyai hasil mineral seperti emas dan bijih besi melakukan aktiviti perlombongan tetapi perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri serta memenuhi syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, pemilik tanah perlu tampil mengemukakan permohonan kepada agensi berkaitan di bawah Skim Pelombong Kecil (SPK) bagi mendapatkan lesen untuk membolehkan hasil tersebut diambil secara sah.

Dalam pada itu, Ismacahyadi Bagus berkata, khazanah bumi yang diciptakan oleh Allah SWT perlu dipelihara kerana jika tidak diteliti (aktiviti perlombongan tidak terkawal), ia boleh menggugat keadaan alam sekitar serta merosakkan ekosistem.

Katanya lagi, pihak kerajaan tempatan perlu memastikan bahawa lesen yang dikeluarkan (kepada pemilik tanah persendirian) mengikut kepada garis panduan yang diwartakan oleh pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) iaitu permohonan lesen di Bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 (JMG.GP.26) selain Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Perlombongan Dan Pengkuarian Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). JMG.GP.26.

"Justeru, sebelum aktiviti perlombongan dapat diluluskan, pihak yang memohon perlu menyediakan perancangan yang teliti dalam pelbagai aspek.

"Ini termasuk mengambil kira keadaan alam sekitar, keadaan ekosistem setempat, cadangan aktiviti perlombongan terkawal, deklarasi hasil perlombongan mineral dan yang terakhir sekali perancangan setelah mineral habis dilombong dan penutupan kawasan perlombongan supaya kawasan tersebut dapat dibangunkan dengan baik di masa akan datang," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... -dipantau-rapi-elak
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 02:40 PM GMT+8 , Processed in 0.063955 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list