CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7182|Reply: 0

[Pulau Pinang] Laporan anggota bomba lemas ketika selenggara bot dimuktamad dua minggu lagi

[Copy link]
Post time 8-3-2024 06:16 PM | Show all posts |Read mode
Laporan anggota bomba lemas ketika selenggara bot dimuktamad dua minggu lagi


Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my



JAMALIAH (kiri) bersama kelima-lima anaknya mengaminkan doa ketika menerima kunjungan Aiman Athirah (belakang dua dari kiri) sambil diperhatikan Nor Hisham (belakang tiga dari kiri) di rumah mentuanya di Pekan Darat. FOTO Danial Saad




Butterworth: Laporan siasatan insiden seorang anggota bomba lemas ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin di sini, 22 Februari akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk melakukan siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti kaedah gerak kerja semasa serta prosedur operasi standard (SOP) tugas penyelenggaraan bot yang digariskan ketika ini.

"Jawatankuasa khas itu turut merekodkan keterangan dua orang saksi yang berada bersama mangsa di lokasi kejadian.

"Siasatan kini di peringkat akhir dan kita jangka dalam dua minggu lagi siasatan akan dilengkapkan sebelum kita merumuskan dapatan keseluruhan insiden yang berlaku.

"Dalam hal ini, kita akan turut melihat apakah kaedah yang perlu ditambah baik pada SOP yang sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Kasih ke rumah keluarga Allahyarham Mohd Izwan Ilias di Pekan Darat di sini, hari ini.

Terdahulu, Nor Hisham mengiringi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menyampaikan bayaran pampasan kerajaan dan pampasan JBPM kepada balu Allahyarham Mohd Izwan, Jamaliah Abd Majid, 42, bernilai RM272,923.07.

Bayaran pampasan kepada anggota yang sudah berkhidmat selama 19 tahun itu antaranya meliputi ganjaran terbitan sebanyak RM49,692.06, bayaran gantian cuti rehat RM16,817.29, bantuan pengurusan jenazah RM3,000, ex-gratia RM50,000, Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB), RM109,413.72 dan Skim Takaful Berkelompok bernilai lebih RM40,000.

Sementara itu, Aiman Athirah memberi jaminan pihaknya akan memberi keutamaan kepada kebajikan dan pendidikan anak-anak Allahyarham menerusi skim bantuan bersesuaian yang disediakan kerajaan dan akan disalurkan melalui JBPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pada peringkat JKM, kesemua anak-anak Allahyarham layak mendapat bantuan bulanan sehingga mereka berusia 18 tahun dan pastinya kita akan pastikan kesemua mereka mendapat pendidikan sempurna," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Izwan, 42, yang juga anggota Pasukan Penyelamat di Air Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika menyelenggara bot penyelamat sebelum jasadnya ditemukan selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Anggota yang terkorban itu turut meninggalkan lima anak Ilham Zulfaqar Mohd Izwan, 16, Ihsan Zulfaqar, 15, dan tiga adik, Jannatul Husna, 13, Izzul Zulfaqar, 10, dan Ienaira Aisyah yang berusia enam tahun.

Sementara itu, meskipun baru kehilangan bapa, anak sulung Allahyarham berkata, dia dan adik beradik bersemangat memulakan sesi persekolahan bermula Isnin ini termasuk adik bongsunya yang mendaftar untuk kemasukan ke prasekolah.

"Saya dan adik-adik yang bersekolah menengah akan menaiki van untuk ke sekolah manakala adik keempat dan bongsu akan dihantar ibu.

"Alhamdulillah semua kelengkapan sekolah sudah dibeli dan sebenarnya adik-adik masih bersemangat nak jadi bomba macam arwah abah cuma saya bercita-cita menjadi polis sejak kecil lagi," katanya.



Disiarkan pada: Mac 8, 2024 @ 6:03pm








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-6-2024 12:43 AM GMT+8 , Processed in 0.102978 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list