CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17812|Reply: 0

[Sabah] Dua kawasan dadah perlu dibersihkan tahun ini

[Copy link]
Post time 7-3-2024 09:02 PM | Show all posts |Read mode


MESYUARAT: Hajiji mempengerusikan Mesyuarat MTMD Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2024 di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini.

KOTA KINABALU: Dua kawasan di negeri ini perlu diberi fokus untuk dihijaukan dari penyalahgunaan dadah tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kawasan itu adalah Merotai di Tawau dan Tuarid Taud di Keningau.

“Pegawai Daerah Keningau dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau sudah dilantik sebagai Penyelaras Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di peringkat daerah.

"Saya berharap Pegawai Daerah selaku Pengerusi MTMD Daerah dapat bersama-sama merangka gerak kerja ke arah penghijauan kawasan masing-masing dan memberi penekanan secara serius terhadap usaha-usaha pengekalan pencapaian penghijauan KBT ini.

“Proses penghijauan bagi dua lagi kawasan lain iaitu Penampang dan Balung di Tawau akan dilakukan pada 2025 agar isu penagihan dan pelencongan sosial di negeri ini dapat dikawal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat MTMD Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1, Tahun 2024 di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini.

Sementara itu, hajiji juga mahu agar semua ahli masyarakat perlu bekerjasama dan berganding bahu serta berkolaborasi membanteras dadah yang menjadi musuh nombor satu negara, demi masa depan anak muda, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

Katanya, komitmen dan pembabitan aktif semua pihak dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah penting bagi mencapai hasrat kerajaan untuk merealisasikan Dadah Terkawal 2025.

Menurutnya, kejayaan untuk mencapai Dadah Terkawal 2025 memerlukan kerjasama dan kesepaduan semua pihak khususnya Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) peringkat negeri dan daerah, pemimpin politik dan komuniti, ketua jabatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), komuniti setempat serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Tahun ini AADK menyediakan perancangan dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan realistik merangkumi semua bidang teras iaitu Program Rawatan dan Pemulihan, Pencegahan dan Penguatkuasaan bagi memastikan hala tuju serta strategi utama dalam usaha pengurangan kadar penagih dadah sama ada penagih baru atau penagih berulang bagi mencapai Dadah Terkawal 2025 dapat dijayakan", katanya.

Hajiji berkata, MTMD berjaya dilaksanakan di 28 daerah tahun lalu termasuk pelantikan 28 Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Sukarelawan Antidadah (SKUAD) daerah yang menjadi penggerak komuniti dalam membantu AADK khususnya dalam Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) serta Program Pencegahan dan Kesedaran Awam.

“Kehadiran ke mesyuarat MTMD adalah wajib dan Pengerusi MTMD Daerah perlu memastikan setiap ketua jabatan di peringkat daerah, hadir dalam setiap mesyuarat seperti dijadualkan.

"Ini antara cara dan kaedah kita untuk memastikan pelaksanaan setiap keputusan mesyuarat yang dipersetujui bersama berikutan kejayaan untuk mencapai Dadah Terkawal 2025 memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Safar Untong, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Negeri Sabah Nani Sikin.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 11:09 PM GMT+8 , Processed in 0.062411 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list