|
REAL hanya memiliki kelebihan satu gol untuk berdepan Leipzig di Bernabeu awal pagi esok selepas meraih kemenangan 1-0 pada aksi pertama lalu. - AFP
MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berharap pemain-pemainnya dapat memperbaiki aksi hambar menjelang pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Real masih belum pulih daripada kekecewaan gagal untuk terus menjarakkan diri dalam perebutan takhta La Liga selepas mereka sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Valencia kelmarin.
Ancelotti mengakui, pemain-pemainnya masih marah dan kecewa dengan keputusan seri itu, namun beliau menggesa barisan pemainnya itu kekal tenang bagi menggalas misi layak ke suku akhir Liga Juara-Juara.
“Secara jujur, kami sangat marah dan kecewa tetapi itu adalah perkara biasa dalam bola sepak. Sekarang kami perlu kembali seperti biasa kerana bakal berdepan perlawanan penting Rabu nanti (awal pagi esok).
“Saya harap semua pemain kekal tenang dan mula alihkan fokus sepenuhnya terhadap aksi menentang Leipzig. Saya percaya dengan karakter yang dimiliki pemain-pemain Real, terutamanya untuk aksi penting seperti ini,” katanya.
Pengendali dari Itali itu juga menepis dakwaan mengatakan bahawa Real berada dalam situasi sukar ketika ini ekoran masalah kecederaan yang sedang dihadapi juara Eropah 14 kali tersebut.
“Dakwaan yang mengatakan kami berada dalam krisis adalah tidak tepat sama sekali. Aksi menentang Valencia itu mungkin salah satu daripada perlawanan yang kami gagal bermain seperti biasa,” ujar Ancelotti. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... hambar-real-madrid/ |
|