CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7906|Reply: 0

[Perlis] Kawasan penemuan kem, kubur di Wang Kelian sentiasa dipantau - Polis

[Copy link]
Post time 3-3-2024 12:51 PM | Show all posts |Read mode

Gambar fail - Kawasan kem penempatan dan kubur besar yang dibongkar polis di Wang Kelian pada 2015

PADANG BESAR: Kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sekitar Bukit Wang Burma, Wang Kelian dekat sini yang pernah digemparkan dengan penemuan kem serta kubur berkaitan isu pemerdagangan manusia pada 2015 sentiasa berada dalam pemantauan polis dari semasa ke semasa.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata pihak Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan 69 Komando melakukan rondaan berjalan kaki berterusan secara berkala di kawasan itu untuk memastikan tiada lagi aktiviti kemasukan pendatang tanpa izin.

"Setakat ini daripada pelaporan yang kita dapat, tidak ada lagilah kesan-kesan baharu mengenai wujudnya kem-kem pendatang tanpa izin di garisan sempadan," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan sekitar Bukit Wang Burma semalam.

Tinjauan berkenaan turut disertai wakil media, dengan menelusuri laluan hutan dan berbukit untuk sampai ke kawasan satu daripada bekas tapak kem lama itu yang mengambil masa lebih tiga jam dari Pos PGA Simpang Lima dekat sini, sejauh kira-kira empat kilometer.



Hasil pemerhatian Bernama mendapati masih terdapat kesan peninggalan lama di kawasan sekitar antaranya bekas beras, makanan, talam, baju, kanvas dan tin minuman.

Pada 2015, Ketua Polis Negara pada waktu itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan 139 kubur serta kem berkaitan isu pemerdagangan manusia dalam kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu.

Susulan itu, pada 2019, Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kes penyeludupan manusia di Wang Kelian itu secara mendalam.

Muhammad berkata, kawasan tinjauan di satu daripada bekas tapak kem lama itu adalah kem yang agak besar daripada keseluruhan 27 kem yang aktif dipercayai digunakan penyeludup untuk membawa masuk pendatang tanpa izin pada ketika itu menggunakan beberapa laluan dari kawasan sempadan berkenaan.

"Apa yang kita dapati hari ini (semalam) ialah tinggalan oleh pendatang tanpa izin pada masa dahulu, dan kita dapati masa kita nak naik tadi pun, kita dapati laluan yang kita gunakan itu pun telah ditumbuhi semak-samun untuk sampai ke puncak ini," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata modus operandi kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin ke negara ini melalui sempadan negeri itu kini dipercayai lebih tertumpu menggunakan laluan berpagar yang dipotong dan melalui ejen ataupun 'transporter' tersusun yang menggunakan khidmat orang tempatan.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat pihaknya mendapati nilai kos yang terpaksa dibayar pendatang tanpa izin bagi kegiatan berkenaan dipercayai agak tinggi iaitu kira-kira RM5,000 seorang untuk mereka sampai di kawasan dijanjikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, rondaan PGA dan pasukan 69 Komando di kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu juga untuk melindungi khazanah hutan yang terdapat di Perlis supaya tidak diceroboh sewenang-wenangnya.

"Di kawasan hutan simpan di Perlis ini (dipercayai) menjadi sasaran kepada pemburu haram termasuk mencari gaharu," katanya. - BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berit ... iasa-dipantau-polis

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 07:23 PM GMT+8 , Processed in 0.236931 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list