CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 19155|Reply: 0

[Sabah] MA63 mengangkat martabat Sabah, Sarawak

[Copy link]
Post time 2-3-2024 11:12 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 2-3-2024 03:13 PM



HAJIJI

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada Selasa lepas, menarik perhatian di Sabah dan Sarawak.

Dalam titahnya, baginda berpuas hati dengan usaha Kerajaan Persekutuan menyelesaikan perkara- perkara berkaitan MA63.

Titah Seri Paduka, baginda berharap agar ianya dapat memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.

Rata-rata pemimpin dan rakyat kedua-dua negeri itu menzahirkan penghargaan tinggi, sambil mengharapkan agar pelaksanaanya direalisasikan secara tuntas demi manfaat bersama.

Bagi mereka, adalah penting bagi pentadbiran Kerajaan Persekutuan untuk terus melihat langkah penyelesaian MA63 dengan tuntas, sesuai dengan titah Seri Paduka Baginda itu.

Sebenarnya, isu berkaitan MA63 ini sudah lama menjadi perdebatan antara kerajaan-kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Pusat.

Di sebalik pelbagai desakan dan tuntutan, Kerajaan Pusat komited melaksanakannya menerusi pelbagai mekanisme yang diwujudkan.

Perkembangannya membawa dimensi baharu pada 14 Disember 2021 apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan MA6).

Perkara pertama diluluskan Kerajaan Persekutuan ialah mengembalikan status Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan Malaysia pada 1963 melalui pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada 2021.

Kedua pula ialah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda khususnya pindaan kepada tafsiran ungkapan "Persekutuan" dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggabungkan MA63 dan lampirannya sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

Sejak pindaan itu diluluskan, banyak tuntutan dibuat Sabah dan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan atas komitmen bersamanya dalam menjayakan MA63.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, sejak awal lagi sentiasa konsisten dalam usaha menuntut yang terbaik untuk rakyat, sebagaimana terkandung dalam MA63 itu.

Beliau gembira kerana usaha kerajaan negeri dalam tuntutan hak-hak Sabah di bawah MA63 telah menunjukkan banyak kemajuan sejak mengambil alih teraju pemerintahan pada tahun 2020.

"Ini adalah bukti komitmen kita yang tidak pernah berhenti untuk menuntut apa yang terbaik kepada rakyat melalui pengurusan yang berkesan dan berhemat," demikian beliau mengungkapkannya ketika menyampaikan Ucapan Dasar sebagai Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada persidangan agung tahuna parti itu, November tahun lepas.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmen, pendirian dan ikrar untuk terus memperjuangkan  yang terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah, demi kesejahteraan semua.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung dari Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengakui banyak sudah hasil pencapaian MA63 yang wajar diberikan kredit dan penghargaan.

Dalam temuramah eksklusif bersama Utusan Borneo, beliau berkisah mengenai kejayaan dan perjuangan panjang MA63 sehingga mencapai ke tahap sekarang.

Katanya, pencapaian signifikan MA63 sekarang terhasil hasil daripada sikap dan keterbukaan pimpinan Kerajaan Persekutuan, terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merealisasikan pelaksanaannya.

Lee berkata tuntutan MA63 sudah lama dimulai oleh pemimpin-pemimpin Sabah, tetapi dahulu MA63 tidak dibincangkan secara umum. Mana-mana pemimpin yang lantang memperjuangkan isu MA63 berkemungkinan ditekan, termasuk dengan Akta Keselamatan Dalam  Negeri (ISA).

Begitupun, katanya, keadaan mulai berubah sedikit demi sedikit, bermula dengan pengiktirafan tarikh 16 September sebagai tarikh pembentukan Persekutuan Malaysia dan mengisytiharkannya sebagai cuti umum.

Komitmen dan jaminan untuk mengembalikan hak-hak termaktub di dalam MA63 boleh dilihat menerusi penubuhan Jawatankuasa Pemandu (Pelaksana Pihak Berkuasa Sabah dan Sarawak) serta sebuah  Jawatankuasa Teknikal.

Lee berkata tuntutan-tuntutan ini turut diiringi dengan usaha-usaha tanpa penat lelah daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti MySabah dan badan profesional Persatuan Undang-undang Sabah (SLS).

"Barangkali ada yang mempersoalkan apakah hasilnya sehingga kini?

"Atau ada pihak-pihak yang  tidak kira berapa banyak yang telah dilakukan atau capai, mereka akan terus memperlekehkan semua dengan menganggap tiada apa-apa yang telah berjaya dilakukan.

"Walhal sekiranya kita menelusuri perjuangan selama ini, banyak hasil yang wajar diberikan kredit," katanya.

Beliau merujuk Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dipinda untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi samarata dengan Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu).

Definisi “Persekutuan” yang termaktub dalam Perkara 160(2), Perlembagaan Persekutuan turut dikemaskini kepada Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada “Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.”

Selain itu, katanya, bayaran interim Geran Khas Sabah di bawah Perkara 112D Persekutuan Perlembagaan telah ditingkatkan daripada RM260 juta kepada RM300 juta sementara memuktamadkan kaedah terbaik untuk dua per lima atau 40 peratus.

Dalam konteks ini, katanya, istilah 'interim' amat penting kerana ia bermakna bersifat sementara.

"Begitupun, adakalanya kita nampak ada cytro (cybertrooper) yang giat memutar-belitkan cerita umpama angka tersebut merupakan penyelesaian kepada 40 peratus," katanya.


LEE

Lee menegaskan bahawa kerajaan GRS Sabah di bawah kepimpinan Hajiji telah berulang-kali menegaskan Sabah tidak pernah dan tidak akan melepaskan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil yang dikutip dari Sabah.

"Tidak kurang juga ada pemimpin yang pendirian berubah-ubah mengikut musim tampil dengan pelbagai cadangan mekanisme dan formula pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah yang realitinya hanyalah ingin menunggang topik popular ini untuk meraih sokongan," ujarnya.

Lee turut menarik perhatian mengenai kejayaan memperolehi 5% Cukai Jualan Negeri (SST) untuk penjualan produk petroleum di bawah Enakmen Cukai Jualan Negeri 1988 yang mencecah angka billion, kerana ia membawa makna yang amat signifikan kepada kantung pendapatan Sabah selain bayaran royalti daripada minyak dan gas.

Tidak lupa SST ini merangkumi cukai jualan minyak sawit mentah di Sabah.

Ini semua telah menyumbang kepada peningkatan mendadak pendapatan Sabah yang boleh digunakan untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat Sabah.
"Makanya, apa yang dilakukan kerajaan Sabah sekarang sudah berada di landasan betul dan harus diberikan sedikit kepercayaan untuk mereka merealisasikan harapan seluruh rakyat Sabah," katanya.

Lee mengakui kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G-to-G) kini diperhebatkan bagi  mempercepat pelaksanaan hal-hal berkaitan MA63.

Namun, katanya, isu-isu `bread-and-butter' serta kejatuhan nilai ringgit pada ketika ini telah sedikit menenggelamkan isu MA63.

Beliau berkata proses desentralisasi kuasa daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri sedang berlangsung merangkumi soal kesihatan, pendidikan, pekerjaan, dan perindustrian.

"Begitu juga soal autonomi menyaksikan kuasa urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan telah diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah," katanya.

Selain itu, katanya, kesepakatan juga telah dikecapi untuk menyerahkan hak pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas kepada kerajaan negeri seperti di Sarawak.

"Dalam hal ini kerajaan negeri Sabah perlu melakukan proses `due diligence' untuk mewujudkan perundangan subsidiari seperti Distribution Gas Ordinance (DGO) Sarawak sebelum penyerahan kuasa kawal selia tersebut dapat dilakukan.

"Makanya itu yang membawa kepada Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 3 Januari 2024 meluluskan tiga rang undang-undang (RUU) berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga dan bekalan elektrik oleh kerajaan negeri daripada kerajaan Persekutuan.

"Ini penting kerana menjadi punca kuasa kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mengambil alih fungsi dan kuasa daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA)," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga RUU yang diluluskan amat penting untuk menyelesaikan isu gangguan air dan elektrik, iaitu dua perkara prioriti yang mendapat perhatian kerajaan Sabah.

Beliau berkata kerajaan Sabah sudah mempunyai Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (master plan) menangani isu air dan elektrik untuk jangka panjang.

Katanya, projek penjanaan kuasa hidroelektrik seperti Projek Hidroelektrik Upper Padas (UPHEP) yang bukan sahaja merupakan sumber tenaga boleh perbaharui tetapi dijangka mampu menyelesaikan isu bekalan air.

Terdahulu Mesyuarat Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) turut menyaksikan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menyerahkan kuasa autonomi Pelesenan Perikanan Laut Dalam Sabah (sektor perikanan) kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (MAFS) untuk memproses dan pengeluaran permit dan lesen vesel serta peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2.

Dalam pada itu, Lee menarik perhatian mengenai komitmen Anwar memastikan pelaksanaan MA63 direalisasikan secara tuntas.

Katanya, hasrat PMX meneruskan kesinambungan usaha menunaikan apa yang termaktub dalam MA63 boleh dilihat bermula dengan pelantikan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (3 Disember 2022).

Dalam rombakan Kabinet kemudian, portfolio tersebut telah diangkat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Rundingan demi rundingan dan kajian telah dilakukan termasuklah persempadanan semula kerusi Parlimen untuk merealisasikan komposisi satu pertiga kerusi Dewan Rakyat daripada Sabah dan Sarawak.

Sesungguhnya, kata Lee, hal ini akan melibatkan proses yang panjang kerana melibatkan Kabinet, deraf pindaan terhadap semua undang-undang berkaitan, undian persetujuan dua pertiga di Parlimen dan sebagainya.


Terdapat tiga jawatankuasa penting iaitu Jawatankuasa Urusetia MA63, Jawatankuasa Teknikal MA63, dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang bertanggungjawab meneliti semua isu perundangan dan teknikal tersebut.

Mengenai perjuangan Hajiji terhadap MA63, Lee berkata pendirian Ketua Menteri konsisten sejak mengambil alih teraju pemerintahan, seiring visi beliau membangun Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor itu nampak lembut tapi keras," katanya.

Menurutnya, Hajiji seorang pemimpin berwawasan besar dengan `blueprint' halatuju membangunkan Sabah yang jelas menerusi SMJ.  

"Bukan sahaja gangguan air dan elektrik mendapat perhatian tetapi jalan raya yang merupakan kemudahan infrastruktur asas turut mendapat perhatian utama.

"Pada masa sama, kerajaan Sabah banyak melabur dalam memupuk modal insan, mengiktiraf peranan penting golongan belia dalam membentuk masa depan negeri.

"Dana yang besar juga telah diperuntukkan untuk pendidikan, di samping usaha bersepadu untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penduduk Sabah," katanya.

Beliau mengambil contoh syarikat-syarikat gergasi seperti Kibin Solar dari China dan SK Nexilis dari Korea merupakan sebahagian daripada Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang dibawa masuk demi mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak watan Sabah.

Mengenai hubungan negeri-Pusat dalam konteks MA63, Lee berkata, kesalinghubungan dan saling kebergantungan di antara Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dengan kerajaan GRS di peringkat negeri Sabah amat penting untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat dapat dicapai.

Menurutnya, persefahaman di antara kedua-dua belah pihak memainkan peranan kritikal untuk memupuk matlamat dan aspirasi bersama baik untuk pembangunan sosial, ekonomi dan budaya.

"Hanya dengan menggalakkan keterangkuman, kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain dapat meningkatkan keharmonian sosial dan meningkatkan kualiti hidup keseluruhan untuk semua," katanya.

Kesimpulannya, Lee meminjam ungkapan keramat Tun Jugah Barieng, ‘anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung,’ jangan Malaysia seperti tebu, manis di pangkal tawar di hujung.

Apa yang termaktub dalam MA63 haruslah ditunaikan kerana tanpa MA63 maka tiadalah Persekutuan Malaysia.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 05:41 PM GMT+8 , Processed in 0.197248 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list