CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15145|Reply: 0

[Sabah] BeDigital Bootcamp tingkat kemahiran, keupayaan digital peserta

[Copy link]
Post time 1-3-2024 06:00 PM | Show all posts |Read mode
Usaha PETRONAS pastikan kebolehpasaran graduan dalam dunia pekerjaan



PERKONGSIAN: Mohammad Ozaniezie (berdiri) berkongsi kemahiran dan ilmu dengan peserta PETRONAS BeDigital Bootcamp.

KOTA KINABALU: Keupayaan PETRONAS dalam menyediakan peluang kepada golongan graduan untuk terus menimba pengetahuan dan menambah kemahiran sentiasa dipergiatkan dari semasa ke semasa.

PETRONAS BeDigital Bootcamp adalah antara usaha yang dijalankan oleh PETRONAS dalam memastikan kebolehpasaran graduan dalam dunia pekerjaan dapat dipertingkatkan.

Dilancarkan pada Mac 2022, BeDigital Bootcamp diadakan buat julung kalinya di Sabah dan pada 2023, ia telah diperluaskan ke Sarawak dan wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Secara keseluruhan, lima bootcamp telah diadakan dalam tempoh dua tahun, melibatkan 364 peserta daripada 16 universiti tempatan.

BeDigital Bootcamp 6 dan 7 kini sedang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah.



Mohammad Ozaniezie Onasis
PETRONAS bekerjasama dengan rakan kongsi industri seperti Amazon Web Services (AWS) yang merupakan rakan kongsi program dan Sabah Energy Corporation yang merupakan rakan kongsi pengambilan pekerja tempatan.

Kerjasama ini adalah demi meningkatkan pembangunan modal insan dan menyumbang kepada matlamat ekonomi digital negara. Setelah selesai program, graduan bootcamp akan berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan dengan PETRONAS dan rakan kongsi pengambilan pekerja. PETRONAS kini mempunyai lebih daripada 80 rakan kongsi pengambilan pekerja yang mengambil bahagian dalam BeDigital Bootcamp dan sehingga kini, sejumlah 174 tawaran pekerjaan bersyarat telah ditawarkan melalui program ini.

Salah seorang peserta PETRONAS BeDigital Bootcamp di Kota Kinabalu, Mohammad Ozaniezie Onasis, 25, berkata, program ini sangat baik untuk memantapkan kompentensi diri dengan kemahiran digital terkini dan masa hadapan.

Menurutnya yang menyertai program tersebut sebagai pelajar tahun akhir di universiti pada tahun 2022, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dilihat mampu meningkatkan kebolehpasaran peserta untuk dinilai oleh pemain industri seluruh dunia, bukan hanya setakat di Malaysia dan Sabah sahaja.

“Semasa menyertai program ini, saya didedahkan dengan pelbagai kemahiran yang sangat berguna untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar selepas tamat pengajian di universiti.

“Salah satunya adalah cara “Working Backwards” yang dipelopori oleh syarikat multinasional terkemuka di dunia iaitu Amazon.

“Melalui cara ini, kami diajar untuk fokus kepada permasalahan utama yang dihadapi oleh pelanggan, supaya dapat menyelesaikan masalah pelanggan dengan efektif,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau yang kini bekerja di PETRONAS sebagai eksekutif keselamatan siber turut berkata, antara input yang paling berkesan sepanjang mengikuti program berkenaan adalah perkongsian daripada para pemimpin industri yang didatangkan khas oleh PETRONAS.

Katanya, para peserta diberikan peluang untuk bersoal jawab bersama para pemimpin industri, berkongsi pengalaman dan ilmu daripada pemimpin untuk dijadikan panduan para peserta.

“Kami berpeluang mendengar perkongsian daripada Naib Presiden Kanan, Malaysia Petroleum Management (MPM) PETRONAS, Datuk Bacho Pilong iaitu anak jati Tawau, Sabah yang sangat berpengalaman dalam dunia korporat dan teknikal.

“Perkongsian daripada beliau membuka mata dan memberikan saya semangat untuk sentiasa berkhidmat dengan cemerlang demi negara dan keluarga, walaupun berada jauh daripada keluarga dan negeri kelahiran saya,” jelasnya.

Sebelum menyertai PETRONAS BeDigital Bootcamp, Mohammad Ozaniezie mengakui kurang mengetahui ilmu memasarkan diri menggunakan “resume” yang terbaik dan kepentingan rangkaian kenalan profesional.

Namun katanya, selepas menyertai program ini, para peserta dibimbing oleh pakar sumber manusia yang dibawa khas oleh PETRONAS dalam merangka resume terbaik mengikut standard yang diperlukan industri.

Sehubungan itu beliau berkata, dengan menyertai program ini para peserta mendapat peluang terbaik untuk mengubah taraf hidup diri dan keluarga.

“Bagi peserta yang tidak terpilih untuk menerima tawaran pekerjaan, para alumni program ini juga dapat mengadaptasikan ilmu yang dipelajari sama ada bersama organisasi yang lain ataupun menjadi usahawan yang berjaya di daerah sendiri.

“Akhirnya semua dapat mengubah taraf hidup diri dan keluarga serta menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara,” katanya.

Bagi Rafeatul Hannana Mohammad Firdaus, 25, program ini adalah satu platform untuk meningkatkan kemahiran diri berdasarkan modul yang dipelajari sepanjang menyertai program itu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu ini berpendapat, input paling berkesan sepanjang mengikuti program itu adalah perkongsian mengenai Power BI.

“Sebelum menyertai program ini, saya tidak pernah menggunakan ataupun mengetahui fungsi Power BI, namun sekarang saya menyedari Power BI sangat penting terutamanya kepada peserta atau graduan yang menceburi bidang kewangan kerana ia dapat digunakan untuk menganalisis data,” katanya.

Beliau berkata, perkongsian yang diterima sepanjang program ini menepati keperluan bidang keusahawanan di Sabah kerana peserta yang belajar bidang keusahawanan digital sebenarnya boleh menceburi alam pekerjaan sebagai pakar digital keusahawanan.

Justeru jelasnya, ia secara tidak langsung dapat membangunkan lagi bidang keusahawanan di Sabah.

Rafeatul berpendapat program ini membantunya merancang dan melihat hala tuju dalam kerjaya yang diingini kerana tahu sedikit sebanyak mengenai peluang pekerjaan yang luas khususnya dalam bidang yang dipelajari.

“Pada pendapat saya, bidang keusahawanan adalah penting bagi masyarakat kerana peluang pekerjaan dapat diwujudkan dengan adanya usahawan-usahawan tempatan.

“Dengan menyertai program ini, ia satu peluang untuk peserta memperkasakan kemahiran dalam bidang teknologi dan keusahawanan.

“Secara tidak langsung, peserta yang ingin menjadi usahawan dapat mengembangkan lagi perniagaan dengan cara penggunaan digital seperti pembangunan idea perniagaan digital. Secara peribadi, saya dapat peluang pekerjaan serta membantu keluarga saya,” jelasnya.

Menurutnya, tempoh dua minggu menyertai PETRONAS BeDigital Bootcamp memadai untuk semua peserta menimba ilmu dan pengalaman baharu dalam memantapkan tahap keupayaan diri.

Jelasnya, hasil mengikuti program ini, ‘soft skills’ seperti cara pemikiran kritikal serta ‘hard skills’ dalam diri dapat ditingkatkan dengan penggunaan Power BI.

Sebelum ini Rafeatul menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pemalu dan tidak ada keyakinan diri yang tinggi untuk bercakap di hadapan orang ramai.

“Bagaimanapun, selepas menyertai program PETRONAS BeDigital Bootcamp, saya belajar untuk mencabar diri menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi.

“Justeru, ia membantu saya untuk menentukan hala tuju kerjaya kerana saya percaya program ini membuka mata semua peserta mengenai dunia pekerjaan serta peluang pekerjaan yang luas sehala dengan kemahiran dan pengetahuan yang ada pada diri peserta,” katanya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 05:24 PM GMT+8 , Processed in 0.133936 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list