Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat Muhammad Fakhrullah Mohamad, 15, ditemukan jam 10 pagi hari ini di lokasi mangsa tenggelam.
Beliau berkata, mangsa ditemukan tersangkut pada akar pokok dalam air dan operasi menaikkan mayat ke tebing dilakukan.
"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, mayat ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang melakukan pencarian di dasar sungai.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Media hari ini melaporkan, remaja lelaki 15 tahun dikhuatiri lemas selepas tenggelam ketika mandi bersama lapan rakannya di Sungai Ketil petang semalam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai pelbagai agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), BBP Baling, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sejak petang semalam.