CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11839|Reply: 0

[Kedah] Terkilan tak bawa arwah anak solat Maghrib bersama

[Copy link]
Post time 13-2-2024 05:39 PM | Show all posts |Read mode

WARIS mangsa menunggu di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Saya terkilan kerana tidak menunaikan permintaan arwah yang mahu mengikut saya ke masjid," kata Wan Mohd Solehudin Wan Abdul Razak, 39.

Wan Mohd Solehudin adalah bapa kepada Wan Abdul Aziz Wan Solehudin, 8, yang maut ditimpa batu bapa dinding yang baru dibina di kawasan dapur rumah mereka di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, Kuala Ketil di Baling semalam.

Menurutnya, sejak beberapa hari lalu, arwah kerap mahu mengikut dia ke masjid berhampiran rumah untuk menunaikan solat jika dia pulang kerja awal.

"Malam sebelum kejadian itu, arwah juga meminta izin mengikut saya ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib tetapi saya tidak membawanya kerana sudah terlambat dan dia juga belum mandi.



"Saya terkilan kerana rupa-rupanya dia akan pergi buat selamanya, " katanya di sini, hari ini.

Wan Mohd Solehudin berkata, dia tidak menyangka rumah yang dibinanya sedikit demi sedikit itu runtuh bahagian dinding konkrit sehingga menyebabkan anak lelaki kesayangannya maut ketika bermain berhampiran binaan itu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10.30 pagi ketika dia sedang bekerja di sebuah kilang di Kulim manakala isterinya, Siti Zabedah Wan Daud, 30, bersama tiga anak mereka berada di rumah.

"Sebelum kejadian, isteri saya sudah berkali-kali menasihatkan Wan Abdul Aziz dan adiknya, Wan Mohd Baihaqi, 4, supaya tidak bermain di sekitar kawasan pembinaan tambahan ruang dapur yang sedang dibina kerana waktu itu angin bertiup agak kuat.

"Isteri saya juga menyuruh anak-anak masuk ke dalam rumah kerana bimbang terjatuh namun tetap tidak diendahkannya dan terus bermain seperti biasa di kawasan binaan yang saya buat sedikit demi sedikit apabila ada duit," katanya.

Dia berkata, tidak lama kemudian isterinya kemudian terdengar bunyi angin kuat diikuti bunyi benda berat jatuh di ruangan tempat pembinaan dapur itu.

Isterinya meminta anak sulung Wan Nur Saidatul Nafisha Wan Mohamad Solehudin, 10, yang berada di dapur melihat apa yang berlaku.

"Tak lama kemudian anak sulung berlari memberitahu ibunya yang adik ditimpa dinding bata dan berlumuran darah.

"Selepas melihat anak tersepit di bawah runtuhan konkrit bata itu, isteri tidak mampu mengangkatnya lalu meminta tolong jiran mengalihkan binaan itu.

"Isteri mendapati anak tidak sedar diri dan banyak darah mengalir keluar melalui mulutnya, lantas jirannya itu membawa anak ke Klinik Kesihatan Tawar tetapi malangnya anak meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya.

Menurutnya, mujur anak bongsunya yang turut bermain bersama hanya mengalami kecederaan ringan di siku dan belakangnya.

Jenazah Wan Abdul Aziz akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Besah petang ini.

Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak lelaki maut akibat ditimpa batu bata dinding yang baru dibina di belakang dapur rumahnya di Kampung Padang Lalang Besah.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12 tengah hari semalam daripada pegawai perubatan klinik berkenaan berhubung kematian kanak-kanak terbabit.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lat-maghrib-bersama

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

6-5-2024 04:28 AM GMT+8 , Processed in 0.055442 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list