CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11751|Reply: 0

[Perlis] 'Caj ambil gambar, video di View Point Wang Kelian hanya untuk projek komersial'

[Copy link]
Post time 13-2-2024 05:30 PM | Show all posts |Read mode

Kadar baharu bayaran kamera, fotografi dan penggambaran di View Point Wang Kelian yang tular sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati orang ramai. Foto ihsan pembaca

KANGAR: Kerajaan Perlis menjelaskan kadar fi untuk fotografi dan video yang dikenakan kepada orang ramai yang melawat View Point Wang Kelian hanya tertakluk untuk tujuan penggambaran komersial saja.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Wan Badariah Wan Saad, berkata masyarakat diharap bertenang dan memahami tujuan cuba dilaksanakan kerajaan negeri dalam menambah baik kemudahan pelancongan yang ada di negeri ini.

"Fi fotografi yang dikenakan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis hanya untuk penggambaran komersial saja yang menggunakan kamera jenis DSLR dan seumpamanya.

"Selain itu, jika gambar dirakam hanya sekadar untuk tujuan peribadi, hobi atau untuk dimuat naik di media sosial, ia tidak dikenakan caj," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik pada laman Facebooknya, hari ini.



Sebelum ini, tular pengumuman kadar bayaran kamera fotografi dan penggambaran di View Point Wang Kelian yang mana penggunaan kamera dan perakam video dikenakan caj sebanyak RM15 bagi warganegara dan RM20 bagi warga asing.

Selain itu, bagi tujuan penggambaran filem atau dokumentari, caj dikenakan adalah RM500 sehari bagi warganegara dan RM1,000 bagi warga asing, manakala bagi tujuan fotografi pula dikenakan bayaran RM200 sehari bagi warganegara dan RM400 bagi warga asing.

Wan Badariah berkata, orang ramai boleh melihat caj penggambaran yang dikenakan itu sebenarnya sudah termaktub dalam peraturan Kaedah-Kaedah Hutan Negeri Perlis (Pindaan) 2019 dan sudah dikuatkuasa sejak 2020 ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Caj baharu ini pula dikuatkuasakan bermula Disember tahun lalu merangkumi kawasan di Rimba Herba Perlis, Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam, Taman Negeri Perlis dan View Point Wang Kelian.

"Jadi, masyarakat tidak perlu risau kerana kutipan daripada caj yang dikenakan ini akan digunakan semula untuk aktiviti pembangunan dan penyelenggaraan kawasan ekopelancongan di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis," katanya.

Wan Badariah berkata, pihaknya juga akan terus menambah baik kemudahan ekopelancongan yang banyak terdapat di negeri itu.

"Kerajaan Perlis akan terus menambah baik kemudahan ekopelancongan di negeri ini tetapi kena bersabar kerana kita akan buat secara berfasa.

"Jadi nasihat saya, orang ramai yang hendak buat penggambaran komersial, sila jujur dan maklumkan kepada kakitangan yang bertugas terlebih dulu," katanya.

https://www.bharian.com.my/berit ... elian-hanya-untuk-p

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 01:19 AM GMT+8 , Processed in 0.058219 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list