View: 7452|Reply: 0
|
[Selangor]
Pendakian ekstrem hanya untuk pendaki fit
[Copy link]
|
|
PARA pendaki perlu membuat persediaan rapi bagi mengelakkan tragedi ketika melakukan aktiviti pendakian. - GAMBAR HIASAN
PETALING JAYA – Semua individu yang terlibat dengan aktiviti pendakian gunung disarankan membuat persediaan rapi sebelum mendaki bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Perhutanan Cawangan Perak, Muzafar Mohamad berkata, antara perkara penting yang patut disediakan ialah penggunaan khidmat malim gunung bertauliah bagi mengelak risiko tersesat ketika aktiviti tersebut.
Katanya, terdapat lokasi-lokasi yang ditentukan oleh Jabatan Hutan Negeri, Taman Negeri dan Taman Negara yang mewajibkan penggunaan malim gunung yang telah melalui latihan meliputi aspek perundangan, keselamatan dan kemahiran dalam aktiviti mendaki.
“Malim juga bertindak sebagai pemberi pertolongan cemas dalam mana-mana insiden kemalangan dan mereka telah terlatih seperti apa yang berlaku di Gunung Tahan minggu lalu.
“Di samping malim memantau keselamatan peserta sepanjang aktiviti, mereka juga bertindak sebagai pemudah cara dengan mengatur jadual perjalanan, di mana harus berkhemah, berehat dan penerangan berkenaan lokasi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jelasnya, malim gunung juga akan memastikan penggunaan laluan mendaki tidak merosakkan alam seperti membuka laluan baru sewenang-wenangnya.
“Khidmat malim gunung ini juga dapat membantu menambah pendapatan masyarakat setempat dan negeri,” katanya.
Selain itu, Muzafar berkata, setiap individu yang menjalankan aktiviti mendaki terutama yang berusia 30 tahun ke atas digalakkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan berkala.
“Kesemua penggiat, malim gunung dan pendaki sebaiknya mengikuti mana-mana latihan khidmat bantuan awal ‘first aid’ kerana dalam mana-mana situasi pendakian atau kembara, khidmat kecemasan terhampir adalah sekitar dua jam paling dekat malah berhari-hari bagi sesebuah gunung.
“Semua yang terlibat harus membawa kit pertolongan cemas masing-masing di samping ubat-ubatan yang diperlukan untuk diri sendiri kerana hanya kita yang benar-benar tahu kesesuaian ubat-ubat dan tahap kesihatan diri,” ujarnya.
Muzafar turut mengingatkan agar peserta aktiviti lasak seperti pendakian gunung perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan diri supaya malim gunung maklum mengenai situasi tersebut.
“Peserta juga digalak memakai jam pintar yang membolehkan mereka tahu kemampuan diri seperti tahap kardiovaskular semasa pendakian.
“Pendaki juga seharusnya lebih sayangkan nyawa berbanding impian gunung masing-masing dengan mematuhi arahan malim gunung, atau arahan pihak berkuasa. Sebab ada ketikanya suatu aktiviti terpaksa dibatalkan sebelum bermula sedangkan wang telah habis dibelanja untuk permit dan persiapan,” katanya.
Bagi penggunaan telefon bimbit pula katanya, penting untuk pendaki membawa telefon bimbit masing-masing kerana boleh membantu waktu kecemasan dan penggunaan semasa ekspedisi seperti penggunaan kompas kiblat dan arah hutan.
“Telefon bimbit juga boleh diguna sebagai sumber cahaya semasa kecemasan seperti lampu kepala kehabisan bateri, boleh juga menjadi alat komunikasi dengan kumpulan bagi sesetengah gunung ada talian telefon.
“Apabila berlaku kecemasan, telefon bimbit boleh digunakan untuk merakam situasi kecemasan dan dihantar kepada pihak luar bagi mendapat pandangan pihak berkuasa,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... -untuk-pendaki-fit/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|