CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9446|Reply: 0

[Perlis] Memori hitam tinggal bekas

[Copy link]
Post time 6-2-2024 10:14 AM | Show all posts |Read mode
Memori hitam tinggal bekas


Aizat Sharif
am@hmetro.com.my



MUHAMMAD (tengah) turut meninjau lokasi kem transit sindiket pemerdagangan manusia. FOTO Aizat Sharif




Wang Kelian: Semuanya bermula apabila penduduk Wang Kelian kerap melihat kehadiran 'orang luar' yang mencurigakan sebelum terbongkarnya kegiatan sindiket pemerdagangan manusia terbesar pada 2015.

Penduduk kampung yang membuat laporan polis ketika itu, tidak menyangka kawasan berbukit Wang Burma menyimpan rahsia yang mana ia dijadikan lokasi sindiket pemerdagangan manusia membabitkan warga Myanmar etnik Rohingya.

Selepas sembilan tahun peristiwa hitam itu, wartawan NSTP berkesempatan menjejak kembali kawasan itu bersama Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim semalam, bagi meninjau kembali kem tahanan dan bekas tapak kubur yang digunakan sindiket.

Pendakian dua jam itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin bersama komando VAT69, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Tinjauan di lokasi mendapati, muka bumi kawasan bukit itu jauh berbeza berbanding dahulu, apabila banyak laluan ke tapak lama kem tahanan dan kubur hampir ditutupi pokok hutan serta semak samun.

Bermula jam 8.30 pagi, wartawan NSTP mendaki 1.25 kilometer sebelum tiba ke base camp dibina khas anggota PGA.

Dari base camp untuk ke bekas tapak kem tahanan hanya mengambil masa 10 minit, malah masih ada kesan struktur seperti kawat duri yang kini rebah dan berkarat di lokasi berkenaan.

Selain itu, ada satu lubang dalam ditemukan berhampiran kawasan kawat duri berkarat dipercayai menjadi tempat penyimpanan bahan makanan oleh anggota sindiket pemerdagangan manusia.


ANTARA lubang sedalam lebih lima meter ditemui di bekas tapak kem transit pemerdagangan manusia di kaki Bukit Wang Burma.




Ini satu daripada lebih 20 bekas kem yang sudah dimusnahkan anggota keselamatan bagi mengelak ia terus dijadikan lokasi pemerdagangan manusia berikutan jaraknya ke batu sempadan Malaysia-Thailand cuma sekitar 350 meter sahaja.

Mengulas keadaan semasa kawasan berkenaan, Muhammad menjelaskan, tinjauan dilakukan bagi memastikan bahawa tiada lagi aktiviti pemerdagangan migran dilakukan di lokasi itu.

"Tiada lagi aktiviti (pemerdagangan migran) didapati berlaku di kawasan ini dan kebanyakan kem yang dahulunya ada di sini juga sudah tiada dan dimusnahkan.

"Malah, bekas tapak kem kecil bagi kes ini juga adalah kes terakhir yang sudah diselesaikan," katanya yang nyata berpuas hati dengan tahap keselamatan di kawasan berkenaan ketika ini.

Sementara itu, anggota VAT69 yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman (bukan nama sebenar) menjelaskan, kegiatan penyeludupan manusia di Wang Burma mula dikesan akhir 2014 apabila penduduk kampung terlihat kelibat orang asing yang berkeliaran di sekitar kawasan Wang Kelian.

"Orang kampung yang bimbangkan keselamatan diri dan harta benda kemudiannya melaporkan perkara ini kepada polis.

"Apabila laporan dibuat, polis mula melakukan pemantauan untuk mendapatkan maklumat sebelum anggota VAT69 masuk ke kawasan ini bagi melakukan risikan.

"Ketika tugasan risikan, anggota keselamatan mengesan pergerakan manusia di atas bukit dan berjaya membongkar kewujudan pelbagai kem tahanan berhampiran titik sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Menurut Sulaiman, selepas tinjauan itu, polis menemukan tapak kubur dipercayai digunakan untuk mengebumikan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang mati akibat kebuluran selepas dikurung anggota sindiket.

"Hasil tinjauan di kem, komando VAT69 menemukan kubur besar dan apabila pasukan forensik melakukan siasatan lanjut, baharu ditemukan lebih banyak mayat termasuk yang sudah tinggal rangka.

"Malah, ada juga mayat yang ditemukan sudah reput selain berulat. Ini antara yang kami jumpa pada 2015 malah kami tidak sangka, perkara ini boleh terjadi di kawasan ini," katanya.



Disiarkan pada: Februari 6, 2024 @ 9:02am








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 08:54 PM GMT+8 , Processed in 0.058087 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list