Stok minyak masak disimpan dalam ruang stor dipercayai disorok, dirampas daripada pasar raya terbabit.
BINTULU: Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Bintulu merampas 510 kilogram minyak masak paket bernilai RM1,275 disyaki disorok sebuah pasar raya di sini hari ini.
Ketua Cawangannya Al Redzamani Abdul Razak berkata hasil maklumat serta risikan sepasukan anggota KPDN menjalankan pemeriksaan ke atas premis terbabit dalam Ops Sorok.
"Pemeriksaan dijalankan mendapati pasar raya terbabit tidak mempunyai minyak masak paket di rak pasar raya itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Menurutnya, siasatan susulan mendapati sebanyak 510 kilogram minyak masak disimpan di ruang stor premis disyaki disorok.
Katanya, syarat sah perlu dipatuhi pelesen adalah memastikan bekalan khususnya barangan kawalan sentiasa ada sepanjang masa seperti termaktub dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1974.
"Pasar raya terbabit kemudian diminta supaya mengisytiharkan stok di bawah Seksyen 8, AKB 1961.
"Stok minyak masak paket yang dipercayai cuba disorok kemudian disita untuk siasatan lanjut," jelasnya.
Kes disiasat di bawah AKB 1961 dan jika sabit kesalahan, pasar raya terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya atas kesalahan menyorok barang kawalan.
|