CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6616|Reply: 0

[Perlis] Peniaga putu buluh jadi jutawan terbaharu SSP BSN

[Copy link]
Post time 29-1-2024 02:08 PM | Show all posts |Read mode
Peniaga putu buluh jadi jutawan terbaharu SSP BSN


Oleh Aizat Sharif - Januari 29, 2024 @ 1:46pm  bhnews@bh.com.my




Muslim (tengah) diraikan oleh pengurusan BSN selepas terpilih sebagai pemenang cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP ke-95




KANGAR: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Demikianlah nasib seorang peniaga makanan putu buluh, Muslim Chatib, 62, yang bergelar jutawan apabila Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) yang dibeli sejak 1999, dipilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP yang ke-95.

Hasil kemenangan dalam cabutan itu, beliau membawa pulang RM1 juta berserta sebuah kereta mewah BMW X5, sekaligus melengkapkan pencarian 95 orang jutawan BSN SSP bagi tahun lalu.

Muslim yang juga peniaga pasar malam serta mengusahakan gerai makanan bersama isterinya, Noraini Said, 54, di hadapan rumah mereka dekat Jalan Santan di sini, sememangnya tidak menyangka kejayaan itu.

"Saya mula menyimpan dalam BSN sejak 1990 lagi dan masa sama juga, ada membeli SSP yang ditawarkan BSN itu sekadar untuk cuba-cuba sahaja apabila cabutan itu dijalankan, manalah tahu ada rezeki dapat hadiah.

"Saya pernah juga terima kemenangan sagu hati daripada BSN tetapi tidak pernah bermimpi atau menyasar untuk dipilih sebagai pemenang dalam setiap cabutan.

"Apabila mendapat tahu terpilih dalam Cabutan Jutawan BSN SSP yang ke-95, saya agak terkejut kerana tidak sangka ia menjadi rezeki saya," katanya ketika ditemui di perkarangan kediamannya di Kampung Dagang, Jalan Santan, di sini hari ini.

Muslim menyifatkan kejayaan ini juga adalah rezeki daripada Allah SWT dan buat masa ini, dia belum mempunyai sebarang perancangan khusus untuk menggunakan wang daripada cabutan BSN SSP yang dimenanginya itu.

"Mulanya saya diberitahu oleh anak sulung saya pada 4 Januari lalu mengenai kemenangan ini ketika sedang berniaga di gerai namun saya tidaklah mengambilnya begitu serius kerana tiada apa bukti mengesahkan saya menang.

"Namun apabila pihak BSN sendiri menghubungi, maka saya anggapkan itu adalah perkara yang benar dan saya bersyukur dengan kejayaan yang diberikan kepada kami dalam hal ini.

"Buat masa sekarang, saya dan keluarga belum ada perancangan untuk menggunakan wang berkenaan namun saya berfikir untuk membawa keluarga menunaikan umrah selepas ini jika diizinkan Allah," katanya.

Muslim yang berasal dari Sumatera, Indonesia, mendirikan rumah tangga bersama Noraini pada 1987 di Kangar dan dikurniakan tiga anak perempuan berusia antara 26 hingga 36 tahun.

Selain menjadi peniaga, Muslim juga adalah seorang jurulatih taekwando bertauliah di Perlis, banyak mengajar seni mempertahankan diri itu di beberapa buah sekolah menengah, rendah dan tadika sekitar Kangar.

Terdahulu, Muslim ditemui ketika menerima kunjungan Pengarah Negeri BSN Kedah/Perlis, Zamri Ngah, di rumahnya.

BSN dalam satu kenyataannya berkata, BSN memperuntukkan jumlah hadiah keseluruhan bagi kempen BSN SSP bagi tahun ini bernilai RM30 juta.

Sebanyak 10 kategori cabutan termasuk satu kategori cabutan baharu diwujudkan bersempena dengan sambutan ulangtahun BSN yang ke-50 dengan ganjaran berjumlah RM30 juta ditawarkan sekaligus meningkatkan peluang kemenangan bagi lebih 20,000 penyimpan.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 05:55 PM GMT+8 , Processed in 0.109763 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list