CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4804|Reply: 0

[Kedah] Ainul Syeefa lakar 200 karya

[Copy link]
Post time 29-1-2024 07:45 AM | Show all posts |Read mode
Ainul Syeefa lakar 200 karya


Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my



AINUL Syeefa menunjukkan hasil lukisannya.




Pendang: Berstatus insan istimewa nyata bukan kekurangan buat remaja autisme ini kerana berjaya membuktikan dirinya lebih istimewa daripada masalah dihidapinya dengan mempunyai kebolehan dan bakat melukis setanding golongan normal.

Ainul Syeefa Zamrol, 13, dari Bukit Jenun di sini, mengasah bakat melukis sejak berusia tujuh tahun melalui usaha ibu bapa, Zamrol Yaakub, 53, dan Suraya Abdul Rahman, 53, serta guru lukisan, Luq Zaidismail yang tidak pernah kenal erti lelah dalam mencungkil bakatnya.

Sehingga kini, Ainul Syeefa sudah menghasilkan lebih 200 karya seni hasil tangannya, malah kerap menyertai pameran seni dengan terbaru ialah pameran hasil karya pelukis autisme di Subang Jaya, Selangor tahun lalu.

Suraya berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu didiagnosis autisme sejak berusia 20 bulan selepas menyedari perkembangan Ainul Syeefa tidak seperti bayi lain apabila suka menyembunyikan dirinya.

Menurutnya, anak kesayangan itu lambat bertutur dan hanya boleh bercakap ketika berusia tujuh tahun, namun tidak menyangka anak yang pernah dibimbangi itu mempunyai kelebihan melalui bakat melukisnya.

"Saya seperti ibu lain yang sedih dan sukar menerima anak kami disahkan autisme kerana bimbang masa depannya, tetapi saya reda kerana menganggapnya ujian buat keluarga kami.

"Ketika doktor menerangkan keadaan Ainul Syeefa, dia turut beritahu golongan istimewa ini mempunyai kelebihan tersendiri dan sebagai ibu bapa, kami perlu mencarinya yang akhirnya kami sedar dia mempunyai bakat melukis," katanya.

Menurutnya, ia bermula apabila dia melihat iklan kelas melukis percuma untuk anak istimewa anjuran Balai Seni Kedah di Alor Setar sebelum menghantar Ainul Syeefa menyertai kelas berkenaan setiap minggu sehingga dia berusia 12 tahun.

"Pada mulanya Ainul Syeefa dilihat kurang berminat dengan aktiviti itu dan hanya bertahan 10 hingga 15 minit saja, tetapi kami tak jemu membawanya ke kelas walaupun perjalanan dari Pendang ke Alor Setar mengambil masa sejam.

"Lukisan pertamanya buah-buahan. Walaupun pada pandangan kami hanya lukisan biasa yang senget-benget, tetapi guru lukisan mengatakan Ainul Syeefa ada bakat dan ia boleh digilap dengan lebih baik," katanya.

Guru matematik sekolah rendah terbabit berkata, sejak itu fokus anaknya semakin baik dan boleh bertahan sehingga dua hingga tiga jam berada di dalam kelas sejak dia berusia sembilan tahun serta lebih cenderung melukis karakter kartun.

"Ainul Syeefa biasanya melukis mengikut imaginasinya, tetapi ia berdasarkan sesuatu cerita yang dibaca dan lihat. Seperti jika dia membaca kisah Nabi Nuh, dia akan melukis ikan paus dan melukis orang, dia suka lukis seperti karakter kartun.

"Dia melukis di mana-mana saja seperti tab, kertas dan kini medium lukisan, kanvas dengan mengguna akrilik. Ainul Syeefa meluangkan masa sejam melukis setiap malam," katanya.

Beliau berkata, anaknya mengambil masa antara dua minggu hingga dua bulan menyiapkan lukisan sepenuhnya mengikut saiz kanvas dan mengakui lukisan dilihat sebagai 'medan' terbaik untuk Ainul Syeefa meluahkan ekspresi diri.

"Alhamdulillah daripada lukisan biasa-biasa saja kini menjadi lebih baik serta kemas dan ada juga yang memuji bakat serta menyukai karya Ainul Syeefa sehingga ada lukisannya pernah dibeli oleh seorang wakil rakyat.

"Dia boleh melukis macam-macam, tetapi lebih kepada kartun dan biasalah anak istimewa dia kurang suka ditegur ketika melukis, tetapi dia akan terima teguran kalau kita cakap baik dengan nada yang lembut," katanya memberitahu anaknya kini menyertai kelas baru, tetapi masih dengan guru sama.

Katanya, sebagai ibu, dia berbangga dengan usaha dan perubahan Ainul Syeefa yang semakin positif, malah turut terharu apabila guru lukisan anaknya mengatakan kreativiti dan komitmen remaja itu melebihi insan normal.

"Lukisan adalah terapi terbaik untuk Ainul Syeefa selain penekanan ilmu agama untuknya.

"Saya berharap anak boleh menjadi pelukis autisme berjaya seperti pelukis autisme, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri dan mempunyai galeri sendiri serta mengadakan pameran lukisan secara solo," katanya.



Disiarkan pada: Januari 29, 2024 @ 7:01am








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 02:12 PM GMT+8 , Processed in 0.054983 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list