CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3066|Reply: 0

[Kedah] Isteri terlantar, suami uzur dapat perhatian Perdana Menteri

[Copy link]
Post time 23-1-2024 12:08 PM | Show all posts |Read mode
Isteri terlantar, suami uzur dapat perhatian Perdana Menteri


Januari 23, 2024 @ 10:34am



Kamil bertanya khabar keadaan Arman ketika mengadakan lawatan Ziarah Madani di Taman Ria Mesra II petang semalam. Foto Bernama



GURUN: Nasib lima sekeluarga yang tular di media sosial baru-baru ini selepas ibu bapa yang menjadi tulang belakang keluarga itu diuji masalah kesihatan, mendapat perhatian Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politiknya, Kamil Munim, berkata ketua keluarga terbabit, Arman Othman, 49, menghidap penyakit angin ahmar, manakala isterinya, Mazliana Jamaluddin, 39, pula diuji dengan ketumbuhan di kepala dan kini terlantar.

"Pada sesi lawatan kerja saya ke Kedah hari ini, selain dua keluarga lain, saya turut menziarahi keluarga Mazliana dan menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri melalui Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) peringkat negeri.

"Saya turut dimaklumkan beliau menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagaimanapun, kita akan lihat bentuk bantuan lain yang boleh disalurkan bagi membantu keluarga ini," katanya selepas Program Ziarah MADANI di rumah keluarga berkenaan di Taman Ria Mesra II dekat sini, petang semalam.

Hadir sama pada program itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufik Johari.

Nasib yang menimpa keluarga ini mendapat perhatian ramai apabila kisah anak pasangan itu, Aiman Ikhwan menguruskan ibunya yang terlantar termasuk mengelap badan, menukar lampin pakai buang dan memastikan ibunya minum susu formula khas tujuh kali sehari menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Kamil berkata, kehidupan pasangan itu lebih sukar kerana anak sulung mereka daripada tiga beradik adalah orang kurang upaya (OKU) sejak kecil, namun pemimpin dan masyarakat setempat sentiasa memberi perhatian terhadap keluarga itu.

Mohammed Taufik berkata, pejabat Parlimen Sungai Petani akan bekerjasama dengan agensi berkaitan khususnya ICU bagi memantau keluarga terbabit.

"Anak pasangan ini masih bersekolah dan pasti kos persekolahan juga perlu dibantu, selain keperluan harian, lampin pakai buang, susu untuk pesakit terlantar dan sebagainya.

"Saya akan buat pemantauan secara bulanan ke atas keperluan keluarga ini," katanya.

Sementara itu, kedua-dua pasangan terbabit menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan serta bantuan Perdana Menteri dan semua pihak terbabit.

Arman berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan wakil Perdana Menteri berhasrat menziarahi mereka sekeluarga dan menyampaikan sumbangan itu.

"Saya rasa terharu, gembira dan berterima kasih atas keprihatinan dan sumbangan diberikan," katanya.

Mazliana kini tinggal di rumah adik bongsunya, Norlela Jamaluddin, 30, yang terletak tidak jauh dari rumahnya, bagi memudahkan anggota keluarga lain menguruskannya.

Norlela berkata, abang iparnya masih tinggal di rumah mereka sendiri bersama anak sulung, Aiman Irfan, 20, manakala Mazliana dan dua lagi anaknya, Aiman Ikhwan, 15, serta Aina Najwa, 10, tinggal bersamanya.

"Aiman Ikhwan banyak membantu menguruskan ibunya khususnya selepas pembedahan kedua pada 21 Disember lalu. Saya bekerja kilang dan turut sama membantu menjaga kakak bersama adik-beradik lain secara bergilir," katanya. – BERNAMA







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 05:32 AM GMT+8 , Processed in 0.304621 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list