CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2985|Reply: 0

[Kedah] 'Dalam rezeki saya ada rezeki orang lain, jemput makan percuma di RMP'

  [Copy link]
Post time 21-1-2024 09:28 PM | Show all posts |Read mode
'Dalam rezeki saya ada rezeki orang lain, jemput makan percuma di RMP'


Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my



MAZLINA (bertudung kuning) melayan orang ramai yang datang ke RMP. FOTO Ihsan Mazlina Kamarudin




Alor Setar: Keengganan melihat orang sekeliling berlapar mendorong bekas kerani akaun berkongsi rezeki menerusi inisiatif Rumah Makan Percuma (RMP).

Mazlina Kamarudin, 57, yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd berkata, RMP bermula sejak tiga tahun lalu iaitu ketika tempoh pandemik Covid-19 dengan tapaknya terletak di Kampong Simpang Empat, di sini.

Menurutnya, RMP dibuka setiap hari kecuali Sabtu dan misinya adalah memberi makan tengah hari percuma kepada semua tanpa meletakkan golongan sasar.

"Alhamdulillah, boleh dikatakan setiap tahun saya dan suami berpeluang mengerjakan umrah pada Ramadan.

"Di sana, kami dapati ramai pak Arab (orang Arab) menghidangkan juadah kepada jemaah untuk berbuka puasa dan daripada situ tercetus idea saya untuk membuka RMP.

"Tak ada golongan sasar jadi bukan hanya asnaf atau pembeli ayam (keluaran syarikat) boleh makan di RMP tetapi semua tanpa mengira bangsa atau agama.

"Selain berkongsi rezeki, kita nak cuba tunjukkan sikap mengambil berat terhadap sesama insan supaya orang bangsa lain yang secara tidak langsung menunjukkan keindahan Islam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mazlina berkata, pada awalnya, RMP memperuntukkan makanan untuk 250 orang bagi melihat sejauh mana sambutannya.

Kini, Mazlina berkata, kapasiti makanan diperuntukkan untuk 550 orang setiap hari dengan waktu operasi bermula jam 12 hingga 1.30 tengah hari.

Bagaimanapun, Mazlina berkata, waktu operasi akan dilanjutkan sehingga jam 2 jika makanan masih ada.

"Alhamdulillah, sejak hari pertama RMP dibuka, sambutan amat memberangsangkan kerana yang datang terdiri daripada pelbagai golongan antaranya asnaf, ibu tunggal, masyarakat Cina, juga rombongan bas dari luar hingga kemeriahannya terasa sampai sekarang.

"Cuma, waktu operasi agak pendek kerana saya perlu memikirkan juga peniaga makanan di kawasan sekitar dan enggan beri kesan kepada mereka jika buka dalam tempoh lama.

"Lagipun, buat masa ini bajet saya hanya mampu sediakan untuk 550 orang saja dan berharap ia dapat ditingkatkan lagi pada masa akan datang.

"Buat masa ini, wang untuk menghidupkan RMP adalah daripada saya, suami, hasil jualan Ayam Bismi (produk syarikat) dan sedikit sumbangan luar, secara pemberian barangan," katanya yang menyediakan bermacam lauk hidangan setiap hari selain pemberian telur rebus tiga kali dalam seminggu untuk dibawa pulang.

Meskipun menyediakan makanan percuma, Mazlina sudah melatih pekerjanya untuk melayan semua yang datang dengan baik.

"Buat masa ini, saya mempunyai lima pekerja tetap dan seorang sambilan bagi membantu di RMP.

"Sejak awal lagi saya sudah ingatkan mereka (pekerja) untuk sentiasa tunjuk wajah manis, layan dengan baik dan anggap mereka yang datang macam emak dan ayah sendiri.

"Setakat ini, pekerja saya faham dan itu membuatkan urusan di RMP berjalan lancar walaupun ada juga ujian antaranya berdepan bermacam ragam karenah mereka yang datang selain dakwaan mahu menunjuk kerana berkongsi usaha dilakukan di laman sosial," katanya yang juga ibu kepada empat anak dan nenek kepada empat cucu.

Menurutnya, RMP akan diteruskan selagi mendapat sambutan kerana melihat ia sebagai medium untuk berkongsi sebahagian keuntungan syarikat kepada masyarakat.

"Kalau boleh, saya nak teruskan RMP sampai bila-bila kerana belum terfikir nak berhenti.

"Lagipun, dalam rezeki saya, ada rezeki orang lain dan sejak lakukannya, banyak urusan saya dipermudahkan Allah.

"Ia juga beri kepuasan kepada saya dan jadi bersemangat apabila baca komen di laman sosial daripada individu yang mengatakan mereka terinspirasi untuk ikut jejak langkah saya," katanya.



Disiarkan pada: Januari 21, 2024 @ 9:00pm








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 11:19 PM GMT+8 , Processed in 0.068997 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list