|
Mohd. Iqbal (tengah) menunjukkan bungkusan ganja yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Shah Alam hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!
SHAH ALAM – Taktik licik satu sindiket menubuhkan syarikat persendirian dikenali ‘Pasir Berdengung’ bagi pengedaran ganja sekitar Lembah Klang sejak setahun lalu terbongkar menerusi serbuan di sebuah kondominium di sekitar Taman Perindustrian Glenmarie di sini, baru-baru ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6.40 petang, Ahad lalu itu menahan empat suspek lelaki termasuk dalangnya berusia antara 31 dan 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket ini adalah membuka kumpulan sosial sulit menerusi aplikasi Telegram bagi pelanggan tetapnya yang ingin menempah bekalan dadah.
Katanya, ganja yang dijual adalah seberat antara 100gram hingga 1 kilogram (kg) dengan menggunakan syarikat kurier.
“Sindiket ini akan memberikan akaun nombor atas nama syarikat mereka iaitu Pasir Berdengung bagi tujuan pembayaran sebelum ganja itu dihantar kepada para pelanggannya.
“Syarikat itu ditubuhkan bagi mengaburi pihak berkuasa terhadap kegiatan pengedaran tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.
Beliau bagaimanapun menjelaskan pihaknya masih melakukan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengenal pasti asas jenis peniagaan syarikat itu.
Tambah Mohd. Iqbal, hasil serbuan di kondominium yang dijadikan sebagai tempat pembungkusan dadah itu menemui 6.5kg bernilai RM20,243.
Keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan seramai 1,306 penagih dadah.
“Kita turut menyita dua buah kenderaan dan dua buah motosikal yang masing-masing jenis Mazda, Perodua Bezza, Yamaha FZ150i dan Honda RSX dengan nilai keseluruhan RM128,243.
“Keempat-empat suspek didapati positif dadah jenis kanabis dengan seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Racun,” ujarnya.
Jelas beliau, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Ahad depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... -berdengung-tumpas/ |
|