Padang Besar: Penduduk Kampung Baru Lubuk Machang, Chuping di sini yang mengalami gangguan
ketukan misteri awal pagi di kediaman mereka sejak Jumaat lalu mendakwa kejadian berkemungkinan berlaku disebabkan perbuatan mistik.
Menurut mereka, kejadian berkenaan mungkin dipengaruhi oleh seseorang yang ingin menguji ilmu hitam yang dipelajari.
Seorang penduduk, Mohd Amir Alias, 38, berkata, dalam kejadian yang berlaku mangsa gangguan kebanyakannya adalah wanita.
"Malah, di dalam satu rumah pula hanya seorang sahaja isi rumah itu yang mendengar ketukan kuat.
"Orang yang 'ada ilmu' di kawasan ini mengatakan bahawa kejadian berkenaan mungkin berkait dengan individu yang ingin menguji ilmu pukau yang dipelajarinya," katanya ketika ditemui di kediamannya di kampung itu, di sini hari ini.
Menceritakan pengalaman diganggu ketukan misteri itu, Mohd Amir berkata, adik perempuannya, Nur Khairulnisa turut diganggu dengan ketukan kuat.
"Apabila dia menyelak langsir, tiada apa-apa di luar rumah sedangkan keadaan di luar rumah masih terang diterangi lampu kalimantang dan lampu jalan," katanya.
Dia berkata, situasi itu menjadi perbualan penduduk kampung kerana boleh dikatakan hampir 70 peratus daripada kira-kira 70 rumah menjadi mangsa gangguan.
"Saya mendengar khabar ada rondaan pada sebelah malam membabitkan anggota Jabatan Sukarelawan dan anggota polis di kawasan kampung kami," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis secara rasmi mengenai kejadian itu.
"Namun saya sudah pun mengarahkan anggota untuk melakukan rondaan di kawasan terbabit," katanya.
Sejak Jumaat lalu, Perlis 'gempar' dengan kejadian ketukan misteri dinihari yang didakwa berlaku di beberapa kawasan seperti Batu Bertangkup, Chuping, Panggas dan Arau.