CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5579|Reply: 0

[Perlis] Roti canai terbang di udara

[Copy link]
Post time 14-1-2024 12:55 PM | Show all posts |Read mode

Penebar roti canai cilik, Muhammad Alif Fattah Muhamad Ali menunjukkan kemahiran menebar roti canai terbang di gerai bapanya di Jalan Kangar-Padang Besar, Beseri di Padang Besar. NSTP/Aizat Sharif

PADANG BESAR: Gaya lincahnya memusingkan doh roti canai di udara ternyata memukau pelanggan yang datang makan di restoran bapanya yang menghidangkan kira-kira 100 jenis roti canai.

Justeru, tidak hairanlah ketika usianya baru 11 tahun, Muhammad Alif Fattah Muhamad Ali sering diminta pelanggan tetapnya untuk menunjukkan keunikannya dalam menebar roti canai di udara.

Malah, dengan mengenakan tanjak di kepala, kehebatannya menebar roti canai terbang itu sering dilakukan bergandingan bersama rakan regunya iaitu bapanya sendiri, Muhamad Ali Nordin, 43, yang akan melontarkan doh roti canai itu kepadanya sebelum disambut olehnya di udara untuk ditebar.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Beseri itu berkata, dia mula menebar roti canai ketika usianya sembilan tahun dengan hanya melihat anak kepada rakan bapanya menebar roti canai.



"Daripada situ, saya mula membantu bapa saya dengan menebar roti canai dan kemudian apabila memasuki 10 tahun, saya mula ingin mencuba untuk tampilkan keunikan dalam menebar roti canai dengan menghasilkan skil roti canai terbang.

"Susah juga masa hendak menghasilkan roti canai terbang ini kerana ia mengambil masa sebulan bagi saya mempelajarinya dengan melihat persembahan daripada rakan ayah saya dalam komuniti penebar roti canai.

"Selain itu, saya juga menonton platform YouTube untuk mengolah gaya unik dalam menebar roti canai terbang," katanya ketika ditemui di restoran ayahnya iaitu 'Pak Ali Roti Canai Terbang dan Murtabak Terbang, di Jalan Kangar-Padang Besar, Beseri, di sini hari ini.

Katanya, selepas mula menguasai sedikit demi sedikit kemahiran dalam mengendalikan pembuatan roti canai terbang itu, baru dia cuba melakukannya di khalayak umum.

"Pada mulanya saya hanya mencuba skil menebar roti canai terbang itu di hadapan ahli keluarga dan pernah berlaku kejadian melucukan apabila doh roti canai terjatuh di kepala sepupu saya.

"Selain itu, bapa saya banyak membawa saya ke pertunjukan tebar roti canai terbang di dalam dan luar Perlis. Saya pernah ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan, malah di Perlis sendiri, saya pernah menjadi naib johan pada pertandingan tebar roti canai terbang di SK Titi Tinggi, Padang Besar," katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia suka memasak dan secara puratanya mampu menghasilkan 20 keping roti canai terbang sehari.

"Saya mahu menjadi cef apabila dewasa nanti. Kemahiran menebar roti canai terbang ini bukanlah mudah kerana cara hayunan doh roti ke udara serta ketepatan untuk menyambutnya kembali sangat penting.

"Kita tidak mahu ketika membuat pertunjukan di khalayak ramai, doh roti canai 'mendarat' di atas kepala orang atau jatuh ke lantai menyebabkan doh itu tidak dapat lagi digunakan," katanya.

Sementara itu, bapanya, Muhamad Ali berkata, dia dan isterinya tetap menitikberatkan pendidikan buat Muhammad Alif dan tidak mahu kegiatan itu mengganggu aktiviti persekolahannya.

"Kami sudah berniaga di sini selama empat tahun. Kami beroperasi dalam dua sesi iaitu pagi dan petang iaitu dari jam 7.30 pagi hingga 1 tengah hari dan jam 4.30 petang hingga 12 tengah malam. Pada hari persekolahan, Muhammad Alif hanya akan 'turun' menebar roti canai pada sesi petang," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ai-terbang-di-udara

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 04:24 PM GMT+8 , Processed in 0.058982 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list