Butterworth: Kereta dipandu lelaki berusia 27 tahun terbabas sebelum merempuh penghadang dan paip air milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Jalan Pajak Song, Kepala Batas di sini, hari ini.
Menerusi beberapa video tular di media sosial memaparkan kereta terbabit tersekat di antara dua paip dan nyaris terjunam ke dalam sungai sejurus terbabas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.35 tengah hari.
Katanya, kereta yang dipandu lelaki terbabit dari arah Permatang Sireh ke Masjid Pajak Song.
"Ketika tiba di jalan berkenaan, pemandu gagal mengawal kenderaan dan terbabas di kiri laluan sebelum merempuh pagar serta paip PBAPP.
"Lelaki itu mengalami luka di tangan serta badan dan dihantar ke Hospital Kepala Batas bagi rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pemandu belum membuat laporan polis berhubung kejadian.
"Siasatan dijalankan mengikut Kaedah 10 LN166/1959, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959," katanya.
Menerusi video tular itu turut memaparkan lelaki terbabit diselamatkan orang awam sejurus kejadian manakala satu daripada paip terbabit pecah.