CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 10872|Reply: 0

[Perlis] Harga daun ketum tempatan kini merudum dalam pasaran Thailand

[Copy link]
Post time 12-1-2024 01:29 PM | Show all posts |Read mode
Harga daun ketum tempatan kini merudum dalam pasaran Thailand


Oleh Aizat Sharif - Januari 12, 2024 @ 12:52pm bhnews@bh.com.my




Ismail (tengah) bersama anggota dan penguat kuasa JKDM Perlis menunjukkan gambar daun ketum yang kembali cuba diseludup ke negara Thailand di Padang Besar




PADANG BESAR: Kualiti daun ketum bermutu tinggi di negara ini, menyebabkan sindiket penyeludupan ketum Thailand beralih semula ke sini untuk mendapatkan bekalan bahan berkenaan.

Ini terbukti selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 676 kilogram (kg) daun ketum dalam dua kejadian berasingan di Kaki Bukit, di sini minggu lepas.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim, berkata pihaknya melakukan rampasan pada 3 dan 4 Januari lalu di sebuah rumah tidak bernombor dan sebuah pondok kosong yang dipercayai dijadikan transit sebelum diseludup ke negara jiran menerusi 'laluan tikus' yang ada sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

"Dalam serbuan pertama pada 3 Januari lalu sekitar jam 1 tengah hari, kita melakukan pemeriksaan di parkir sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Kampung Melayu Pak Daud, Kampung Batu 15, Kaki Bukit, Padang Besar.

"Hasil pemeriksaan berkenaan menjumpai 23 huni mengandungi daun hijau disyaki daun ketum yang dianggarkan seberat 476 kg bernilai RM4,760," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat JKDM Padang Besar, di sini hari ini.

Ismail berkata, serbuan itu kemudian membawa kepada satu lagi rampasan daun ketum di sebuah pondok kosong di Jalan Kampung Wang Kelian pada jam 9.30 pagi keesokan harinya.

"Dalam serbuan kedua ini, kita menemui 10 plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum yang dianggarkan seberat 200 kg bernilai RM2,000.

"Kita percaya dalam kedua-dua kes ini, anggota sindiket dipercayai menggunakan kedua-dua premis ini sebagai lokasi transit yang terbiar ini untuk menyeludup daun ketum ini ke negara jiran.

"Kita percaya kedua-dua kes ini dilakukan oleh sindiket yang sama namun tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan itu," katanya.

Ismail berkata, meskipun kesuraman serta kejatuhan harga daun ketum di negara ini, ia tetap terus mendapat permintaan di negara jiran.

"Malah, daun ketum di negara ini juga dijadikan alternatif oleh sindiket penyeludupan dalam mengisi kelompangan permintaan daun ketum di negara jiran.

"Kita percaya, kelompangan ini adalah disebabkan daun ketum di Thailand masih belum matang disebabkan mengalami proses penanaman semula di negara itu," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pasaran semasa, sememangnya berlaku kejatuhan harga ketum di negara.

"Jika dahulu harganya adalah antara RM70 hingga melebihi RM100 bagi sekilogram, namun langkah Kerajaan Thailand membenarkan penanaman ketum di negara itu, maka harga pasaran ketum di Malaysia kini jatuh sehingga RM10 bagi sekilogram.

"Walaupun begitu, ia tetap mendapat permintaan dari negara jiran pada waktu tertentu dan kita terus menguatkuasakan langkah dalam membendung aktiviti penyeludupan ini dari terus berlaku," katanya.

Nilai rampasan daun ketum bagi kedua-dua kes berkenaan adalah sekitar RM6,760. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sepanjang minggu pertama Januari tahun ini, JKDM Perlis berjaya merekodkan nilai rampasan sebanyak RM330,211.09 dan ini termasuk rampasan membabitkan minuman keras bernilai RM71,160 serta dadah jenis ganja dan pil Erimin5 bernilai RM726.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 09:55 PM GMT+8 , Processed in 0.061295 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list