CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4644|Reply: 0

[Perak] Tak tergoda harga jutaan

[Copy link]
Post time 9-1-2024 10:59 AM | Show all posts |Read mode

Pengumpul barang antik Zainal Amri Mohd Ramli, 62, dari Kampung Kota Lama Kiri di sini bersama koleksi puluhan Vespa dan Lambereta miliknya. FOTO BERNAMA

Kuala Kangsar: Pernah ditawarkan jutaan ringgit supaya melepaskan lebih 10,000 koleksi barang antik dikumpulnya sejak 35 tahun lalu, namun Zainal Amri Ramli tidak pernah tergoda dengan tawaran itu kerana kepuasan mengumpul barangan berkenaan mengatasi segalanya.

Malah, jurudawai elektrik berusia 62 tahun yang mesra disapa Zai Am itu sanggup menyediakan ruang khas di kediamannya bagi menyimpan semua barang antik dimilikinya.

Koleksi barang antiknya merangkumi pelbagai jenis daripada jam dinding, senjata perang Melayu lama, tembikar, perkakas makanan dan minuman, alat ganti kereta api, gitar sehingga kenderaan termasuk basikal, motosikal dan kereta.

"Ada antara barang itu saya masih sayang iaitu gitar zaman 50-an hingga 90-an seperti Ibanez, Elk,Fender, Kramer, Hofner dan sebagainya. Belum lagi cerita bab kereta lama seperti Austin Baby 850, MorrisMinor, Wolseley Hornet dan Sunbeam Rapier. Barangan ini semua punya kenangan tersendiri yang tak mampu dibeli dengan wang ringgit.



"Apa yang saya nampak, barang antik ini mempunyai nilai sentimental tersendiri bersifat subjektif yang sukar kita tafsirkan kerana lain orang, lain pula pandangan atau pendapat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kota Lama Kiri di sini.

Namun, Zainal Amri menjelaskan dia tidak menolak menjual jika ada individu yang benar-benar mahu memiliki koleksinya bergantung kepada mutu barangan, usia, permintaan semasa dan pasaran.



Katanya, barang paling mahal pernah dijual ialah motosikal Lambretta pada awal 2000 dengan harga RM10,000 kepada seorang peminat tegar kenderaan itu.

Bercerita mengenai kehidupan bergelumang dengan hobi berkenaan, Zainal Amri yang merupakan anak jati Kota Lama Kiri berkata, ratusan ribu ringgit dibelanjakan sepanjang mengumpul dan memiliki pelbagai jenis barangan antik berkenaan.

Bapa tujuh cahaya mata itu berkata, dia tidak pernah berasa rugi, malah berbangga memiliki barang vintaj berusia puluhan sehingga ratusan tahun yang sememangnya sukar didapati pada era ini.

"Ada juga dalam kalangan kenalan menyindir dan menganggap apa yang saya buat ini benda sia-sia serta menghabiskan duit tanpa arah tuju. Saya cuma pekakkan telinga dan anggap minat manusia itu tak boleh dipaksa dan berbeza.

"Apa pun saya bersyukur kerana dengan hobi ini ia bukan hanya menjana pendapatan sampingan, malah wang hasil jualan (barangan antik) itu sedikit sebanyak menyumbang dalam pembinaan kediaman saya ini," katanya.

Ditanya kaedah diguna pakai dalam pencarian barangan antik, Zainal Amri berkata, kebanyakannya diperoleh daripada maklumat rakan serta kenalan dalam kalangan pengumpul khazanah itu.

"Kerjaya sebagai jurudawai elektrik ini banyak membantu dalam pencarian barang lama. Kadang-kadang apabila datang ke rumah orang untuk baiki kerosakan (elektrik), tak semena-mena jumpa barang lama dalam simpanan mereka.

"Ada antaranya dibeli dan ada dapat percuma sahaja daripada tuan rumah. Antara yang selalu saya dapat ialah jam dinding, kerusi, meja dan sebagainya," katanya.

Selain itu, Zainal Amri berkata, memiliki serta menyimpan barang antik terutama senjata dan perkakas lama satu cabaran kerana ada yang mempunyai 'pendamping' atau unsur mistik.

"Bagi saya, ini bukan cerita karut, ada benarnya. Nak memilikinya (senjata lama) boleh, cuma kena tahu bagaimana 'menyantuninya'. Tak boleh simpan sembarangan, takut nanti jadi perkara lain," katanya.

Mengulas penerimaan ahli keluarga, dia bersyukur isteri serta tujuh anaknya sentiasa memahami dan memberi sokongan terhadap minatnya itu.

"Anak juga menunjukkan minat sama. Saya minta mereka jaga semua ini dengan baik kerana ia khazanah bernilai dan sukar dicari ganti," katanya.



https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ergoda-harga-jutaan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-5-2024 06:29 AM GMT+8 , Processed in 0.222456 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list