London: Crystal Palace bergantung kepada tahap kecergasan Michael Olise menjelang pertembungan pusingan ketiga Piala FA menentang Everton pada awal pagi Jumaat ini.
Toffees mengalihkan tumpuan mereka daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berkunjung ke Selhurst Park dengan tekad bangkit selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut dengan terbaru 0-3 di tangan Wolves.
Namun skuad Sean Dyche berdepan tugas sukar menentang Palace yang masih segar dengan kemenangan 3-1 ke atas Brentford dalam aksi terakhir EPL.
Olise meledak dua gol untuk Eagles sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada lewat permainan. Bekas pemain skuad B-21 Perancis itu menjaringkan lima gol untuk Palace hanya dalam sembilan perlawanan.
Pengurus Roy Hodgson tidak dapat memastikan tahap kecederaan Olise menjelang kunjungan Everton.
Supremo Selhurst itu berkata selepas tamat perlawanan menentang Brentford: "Saya tidak dapat beritahu anda (tahap kecederaan Olise).
"Saya bercakap dengan Olise dan dia kelihatan tak terlalu bimbang. Doktor pula seperti membayangkan tahap kecederaannya tidak serius."
"Kami tidak tahu sehingga dia kembali berlatih dan kami akan menilainya. Saya tak fikir masalah besar pada ototnya tetapi kita di dalam tempoh di mana anda bermain sehingga 20 perlawanan dan tiga perlawanan seminggu. Jadi saya risau pemain terdedah dengan kecederaan otot."