View: 27004|Reply: 0
|
FAM harap Harimau Malaya mampu lolos 16 terbaik
[Copy link]
|
|
Sesi latihan pagi skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon di Arena Futsal, Wisma FAM, Kelana Jaya. - Foto ihsan FAM
KUALA LUMPUR: Lolos ke pusingan 16 terbaik menjadi harapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat skuad Harimau Malaya yang akan berentap di Piala Asia 2023 di Qatar, pertengahan bulan depan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin melihat 'sasaran' itu tidak mustahil untuk direalisasikan sekiranya pemain berada pada tahap terbaik dan memberikan segala-galanya dalam tiga perlawanan peringkat Kumpulan E berdepan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.
Bagaimanapun, Hamidin mengakui mereka perlu realistik memandangkan saingan Piala Asia 2023 bukanlah satu saingan yang mudah apatah lagi menampilkan 24 pasukan terbaik di benua ini.
"Harapan kita untuk layak ke pusingan 16 terbaik itu sudah cukup baik tetapi kita perlu berpijak di bumi nyata. Semua pasukan yang bertanding adalah pasukan yang terbaik.
"Jadi dua perlawanan pertama sangat penting untuk kita dapatkan mata. Sudah tentu Kim Pan Gon, barisan pemain dan juga FAM berusaha ke arah itu.
"Apa yang lebih penting adalah keadaan pasukan kita di mana kita perlu berada pada keadaan yang betul-betul terbaik. Pemain perlu berada dalam 'mood' dan prestasi yang tinggi.
"Kalau ini dapat berlaku, harapan kita memang cerah untuk ke pusingan 16 terbaik. Kadang-kadang kena hari dia (persembahan terbaik) dan kita cuba yang terbaik pada Piala Asia 2023 nanti," kata Hamidin ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Sebagai rekod, bukan sahaja juara dan naib juara kumpulan akan layak ke pusingan 16 terbaik tetapi empat pasukan ketiga terbaik juga berpeluang mengesahkan slot ke pusingan seterusnya.
Pada edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat mata sudah cukup selesa untuk melayakkan diri sebagai empat pasukan ketiga terbaik seperti yang dilakukan Bahrain.
Pasukan yang mengutip tiga mata tetap berpeluang namun bergantung kepada perbezaan jaringan, jumlah gol dan juga rekod disiplin.
Vietnam dan Lubnan memiliki jumlah mata, perbezaan jaringan dan gol yang sama namun Vietnam mara ke pusingan 16 terbaik atas faktor rekod disiplin lebih baik.
Dalam perkembangan sama, Hamidin turut senada dengan Pan Gon apabila menyifatkan skuad untuk ke Piala Asia 2023 kali ini sebagai skuad yang terbaik.
"Saya lihat pemain ini pun antara pemain yang terbaik, mungkin kita hanya terlepas satu atau dua pemain atas faktor kecederaan," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... pu-lolos-16-terbaik |
|
|
|
|
|
|
| |
|