|
Wanns Ahmad, 32, menafikan meniru gaya lakonan Zizan Razak dan Shaheizy Sam dalam pembawakan watak komedinya.
Wanns atau nama sebenarnya Wan Nursalam Wan Ahmad berkata, dia sebenarnya sedang membawa diri sendiri, namun mungkin pandangan mata orang melihatnya cuba meniru gaya dua pelakon popular terbabit.
Foto: IG
"Saya pun perasan dah banyak kali orang bercakap perkara ini. Kalau awal-awal dulu memang rasa satu kegagalan kerana mereka tak nampak identiti saya dan anggap macam orang lain.
"Memang bergelut juga mulanya untuk raih perhatian peminat. Tapi lama-lama saya dah rasa tak kisah. Saya nak yakinkan orang pun, memang tak boleh. Tapi yang penting saya bawa identiti Wanns Ahmad," katanya kepada Harian Metro.
Wanns baru-baru ini ditampilkan sebagai Adnan menerusi drama bersiri Adnan Runner yang disiarkan TV3.
"Ia asalnya dari filem Adnan Sempit yang diadaptasi kepada drama pula. Jadi orang nampak saya macam tiru karakter Shaheizy Sam.
"Apapun saya ambil perkara ini positif. Maknanya orang tengok drama itu. Kita tak boleh marah orang bila nampak begitu. Maknanya ada kesilapan kita yang perlu kita baiki.
"Saya bertekad nak cungkil lagi identiti saya yang sebenar. Saya nak orang tahu ini Wanns Ahmad. Campur karakter itu ini, tak kisahlah asalkan orang kenal saya," katanya yang baru membintangi drama Surat Dari Tuhan.
Dia yang turut dikenali menerusi lagu Terus Mencintaimu cuba membuang pandangan skeptikal masyarakat selepas ini yang melihatnya hanya sesuai dengan watak komedi.
"Saya nak keluar dari zon ini. Tapi pada masa sama, risau juga mampu atau tak. Tapi insya-Allah saya akan cabar diri sendiri untuk keluar dari watak komedi.
"Saya juga bersyukur berpeluang berlakon filem pertama iaitu Pontianak 200 kg arahan Shuhaimi Lua Abdullah. Saya berlakon telefilem Pontianak 100 kg juga arahannya terbitan MIG Production Sdn Bhd yang disiarkan di tonton Original sebelum ini.
"Ia dapat sambutan hangat, jadi MIG Production Sdn Bhd dan Primeworks Studios Sdn Bhd bekerjasama menerbitkannya dalam filem pula," katanya.
Sumber: Harian Metro
|
|