|
Hyper Act dan bekas ahli kumpulan itu tidak pernah berbalah, sebaliknya perpecahan yang membuatkan hanya beberapa anggota asal meneruskan perjuangan adalah berpunca daripada isu dengan pihak luar.
Pengasas band terbabit, Toi atau nama sebenar, Khairul Nizam Baharom, 45, berkata antara mereka masih tetap berhubung malah dia turut menerbitkan lagu runut bunyi band terbabit bersama vokalis baharu, Firman Bansir.
“Insiden yang berlaku pada tahun 2018 hingga berlaku perpecahan kumpulan ini terlalu peribadi untuk dikongsikan, tetapi antara kami tetap bersahabat.
“Ketika saya dan dua lagi bekas vokalis, Ronnie Hussein dan Kecik tidak bersama kumpulan itu, kami semua sebenarnya sudah selesa dengan kerjaya solo .
“Memang tiada isu pun, cuma konflik adalah dengan pihak lain tetapi lebih baik kita fokus dengan projek bersama sekarang kerana ramai mahu tengok kami bergabung semula,” katanya kepada Kosmo! Online.
Perkara tersebut dibangkitkan pada majlis pengumuman Konsert Reunion Hyperact 15 Years Journey yang bakal berlangsung di KWC Starxpo Kuala Lumpur pada 3 Februari tahun depan.
Menurutnya yang pernah menjadi ketua band terbabit, konsert pertama yang juga bersempena ulang tahun ke-15 Hyper Act juga sebagai bukti keutuhan mereka tidak pernah tergugat.
Pada konsert tersebut, selain Firman Bansir selaku vokalis utama serta dirinya (gitar bass dan penyanyi kedua) serta Freddy (gitar utama), Etan (gitar) dan Ejam (dram), dua bekas vokalis iaitu Ronnie bersama Kecik turut tampil menghangatkan pentas.
Katanya lagi, perancangan yang bermain di fikiran untuk menggabungkan semua anggota Hyper Act tercetus sejak sebelum fasa dunia diserang call covid-19, namun hanya sekarang dapat direalisasikan.
“Saya akui kumpulan ini mempunyai jenama yang cukup kuat, jadi kenapa tidak kita buat reunion sempena ulang tahun ke-15 kami selepas mendapat rakan kolaborasi.
“Bagi mereka yang sebelum ini tuduh itu saya ketua yang gila kuasa atau suka membuang ahli sesuka hati, tentu ada hal lain sebab saya sendiri pun sebelum ini angkat kaki.
“Datang saja ke konsert kami nanti yang unik kerana membariskan tiga vokalis, malah biar apa pun kami anggap apa yang berlaku ada hikmah,” ujarnya mengenai persembahan mega anjuran Redvena Music dengan kerjasama Talent Toy Production.
Terdahulu, Ronnie lebih dulu disingkirkan daripada band itu sekitar 2015 dan tempatnya digantikan Kecik atau Mohammad Fauzi Kamarudin yang hanya bertahan selama setahun, manakala Toi pula bergerak solo pada 2018.
Sementara itu, kata Toi lagi, konsert membabitkan kapasiti untuk 5,500 penonton itu juga adalah sebagai kesinambungan kepada penghasilan single baharu berjudul Pasti Terjadi yang dihasilkan pada Oktober tahun lalu.
Sumber: Kosmo! Online |
|