CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 31141|Reply: 0

[Perak] Keluarga Zaharif lantik peguam, mahu siasatan ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

[Copy link]
Post time 17-12-2023 05:58 PM | Show all posts |Read mode

WAN Azmir melawat ahli keluarga Mohammad Zaharif Affendi yang maut dilanggar sebuah kereta berhampiran SMK Jati. FOTO L Manimaran

Ipoh: Keluarga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang maut akibat dilanggar pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, di sini, sudah melantik peguam bagi menuntut pembelaan atas kematian mangsa yang pada mereka mati dibunuh.

Bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, berkata, ahli keluarga bersetuju melantik peguam dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) bagi memastikan kematian anaknya, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, mendapat pembelaan selayaknya memandangkan beranggapan remaja itu mati akibat dibunuh.

Muhd Zamrie berkata, dia mewakili pihak keluarga mahu kematian anaknya disiasat dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu membunuh berbanding mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Ya. Saya memang minta dan hendak Seksyen 302. Kalau orang itu sengaja melanggar (dan mati) bermakna dia memang (berniat) membunuh.



"Tujuan saya melantik peguam adalah inginkan keadilan dan ketelusan, sebab saya tahu kami sekarang berurusan dengan pihak polis. Jadi saya hendakkan keadilan supaya nasib anak saya terbela, telus, dan tiada selindung-selindung, itu saja," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga itu di Taman Chepor Sentosa, di sini petang ini.

Ibu Zaharif, Mimi Julia Ismail, 51, berkata, lantikan peguam adalah atas dasar gesaan serta nasihat ramai pihak termasuk kenalannya yang mahu keluarga menuntut bela atas kematian anak bongsu daripada empat beradik itu.

"Kami pun tidak berapa tahu hal-hal berkaitan guaman dan perundangan jadi lantikan peguam ini dibuat atas dasar siapa yang paling mula menawarkan diri hingga sanggup berkunjung ke rumah kami ini, maka itulah yang kami pilih.

"Moga yang kami pilih ini yang terbaik untuk bantu kami (kerana) saya memang tak boleh terima anak saya mati kerana dibunuh. Kalau mati kerana merempit pun saya tak kisah namun bukan mati dibunuh dengan dilanggar sampai sebegitu, sudahlah pelakunya adalah polis yang patut tahu undang-undang," katanya.

Sementara itu, peguam dari HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pihaknya akan mewakili keluarga Allahyarham Zaharif untuk melihat dua perkara utama iaitu ketelusan proses siasatan polis di pihak keluarga, serta tindakan perundangan sivil yang boleh dikenakan terhadap pelaku kes itu bahkan terhadap kerajaan Malaysia.

"Serta apa yang diminta oleh pihak kami ialah pampasan yang berkait dengan tindakan sivil susulan kematian arwah, supaya kami dapat memastikan pampasan sewajarnya diberikan kepada keluarga arwah," katanya.

Wan Azmir berkata, ketika ini masih terlalu awal untuk menilai sama ada pihaknya berpuas hati dengan proses siasatan polis dengan sebarang indikasi hala tuju sama ada siasatan menjurus kepada kesalahan si pelaku atau membabitkan pasukan polis secara am, akan dinilai selanjutnya seawal-awalnya tiga hari.

"Kami boleh melihat kepada faktor kecuaian seperti kemalangan dilakukan oleh seorang pegawai polis, sama ada ia turut membawa liabiliti terhadap kerajaan atau pasukan polis secara keseluruhan.

"Jadi untuk melihat sama ada hanya pegawai polis itu saja bersalah atau sama ada kerajaan pun bersalah atau pasukan polis yang bersalah, yang itu masih terlalu awal untuk melihatnya sehingga kami berjaya mewujudkan liabiliti bagi kes ini," katanya yang turut bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kes kematian pelajar itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain sudut lain termasuk jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-seksyen-302-kanun
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-5-2024 06:44 AM GMT+8 , Processed in 0.051836 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list