Kangar: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat hendaklah sentiasa bersedia mempersiapkan diri dengan ilmu dan latihan dalam mendepani cabaran masa depan termasuk sekiranya ada sebarang ancaman kepada negara.
Baginda bertitah sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, tanggungjawab untuk mempertahankan tanah air terletak atas bahu semua rakyat di negara ini.
"Janganlah kita mengambil sikap sambil lewa tentang soal-soal keselamatan negara kerana ia boleh membawa impak yang buruk jika kita mengabaikannya," titah baginda dalam kenyataan hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berangkat menghadiri "Acara Menembak Pistol" anjuran Markas Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang diadakan di Lapang Sasar batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja, Kem Bukit Cowder, Mata Ayer di sini baru-baru ini.
Sementara itu dalam kenyataan dikeluarkan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah mengalu-alukan pelajar UMAM di Perlis yang dijangkakan seramai 150 orang bagi peringkat pascasiswazah setiap semester.
"UMAM di Perlis buat masa ini sedia menerima kemasukan pelajar dalam lima program yang terdiri daripada Doktor Falsafah Teknologi Maklumat, Doktor Falsafah Pengajian Islam, Doktor Falsafah Pendidikan, Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan dan Doktor Falsafah Sains Sosial.
"Selain menumpukan dalam bidang penyelidikan, penelitian dan kajian akademik, UMAM turut mensasarkan pelaksanaan program sosial dan komuniti untuk manfaat umat sejagat dalam mendokong hasrat mewujudkan komuniti seimbang serta mempertingkatkan peranan universiti dalam memberikan impak kepada masyarakat," menurut UMAM dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan UMAM di Perlis, Malaysia adalah kampus Universiom Muhammadiyah yang pertama beroperasi di luar Indonesia hasil kerjasama strategik antara MAIPs dan Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia.