ALOR SETAR: Mohammad
Bilal YusraMohammad Azhar, kanak-kanak berusia tiga tahun yang menderita kecacatan tempurung kepala atau
Alobar holoprosencaphly meninggal dunia awal pagi tadi.
Dia disahkan meninggal dunia jam 4.50 pagi di pangkuan ibu, Nurul Izzati Adawiyah Mohd Zaidi, 26, dan bapa, Mohammad Azhar Arzemi, 31, di rumah mereka di Kampung Sungai Ular, Kulim.
Nurul Izzati Adawiyah berkata, dia reda dengan pemergian anaknya yang turut mempunyai masalah jantung berlubang selain tidak dapat melihat dan sumbing sejak lahir.
"Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya. Beberapa hari sebelum ini, Bilal nampak seperti biasa cuma dia kerap merenget.
"Dia meninggal dunia di samping saya dan suami pagi tadi," katanya ketika dihubungi.
Nurul Izzati Adawiyah berkata, jenazah anak keduanya itu akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ular.
Media sebelum ini melaporkan penyakit Bilal semakin kronik, selain kepalanya juga semakin membesar mencapai berat 28 kilogram.
Kanak-kanak itu memerlukan penjagaan rapi, menyebabkan Mohammad Azhar dan isteri tidak dapat bekerja tetap walaupun kesempitan wang. Seorang lagi anak mereka, Nur Khaulah Al-Azwar, 6, pula mempunyai masalah pendengaran serta tulang belakang.