Edited by JoyahMengayah at 13-12-2023 06:39 AM
JAKARTA, 12 Dis – Indonesia kembali memasang pengimbas suhu badan di beberapa pintu masuk antarabangsanya bagi menyaring pelancong yang memasuki negara itu, berikutan peningkatan kes COVID-19 di rantau ini.
Pemasangan pengimbas suhu badan itu dilakukan di lapangan terbang antarabangsa utama Jakarta dan terminal feri Batam.
Langkah berjaga-jaga itu diambil selepas Kementerian Kesihatan Indonesia mengeluarkan pekeliling pada 8 Disember lalu, menggesa rakyatnya berwaspada berikutan peningkatan kes di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Singapura, Malaysia dan Filipina.
Dalam satu kenyataan semalam, kementerian itu mengulangi nasihatnya dan menggesa rakyat Indonesia menangguhkan perjalanan ke kawasan yang melaporkan lonjakan kes COVID-19.
Mereka juga dinasihat melengkapkan pengambilan vaksinasi, memakai pelitup muka dan mencuci tangan serta duduk di rumah sekiranya mereka sakit.
Jurucakap kementerian, Siti Nadia Tarmizi, berkata rakyat Indonesia yang melancong ke luar negara berisiko dijangkiti akibat interaksi mereka dengan orang dari negara lain.
“Adalah perlu memastikan setiap orang mempunyai imuniti yang mencukupi untuk melakukan perjalanan supaya mereka tidak dijangkiti dan menjadi punca jangkitan semasa dalam perjalanan dan ketika pulang ke tanah air,” tambahnya.
Di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta semalam, The Straits Times melihat dua pengimbas haba dipasang berhampiran pusat pemeriksaan imigresen yang mengimbas suhu pengembara, baik warga asing mahupun tempatan tetapi tiada pemeriksaan kesihatan lain dibuat.
Naning Nugrahini, yang mengetuai pejabat kesihatan lapangan terbang, memberitahu media tempatan pada 9 Disember lalu bahawa mereka yang didapati sakit atau bergejala akan menjalani pemeriksaan lanjut termasuk ujian saringan antigen.
Di pulau percutian Batam, pengimbas badan itu dijangka dipasang di lima pelabuhan antarabangsa pulau itu mulai minggu ini, kata pegawai kesihatan pelabuhan Batam yang bertanggungjawab ke atas pengawasan kuarantin dan epidemiologi, Romer Simanungkalit, semalam.
Pejabatnya juga sedang berusaha mendapatkan kelulusan daripada kerajaan pusat untuk memperkenalkan semula kad amaran kesihatan elektronik yang menunjukkan sejarah perjalanan penumpang dan rekod kesihatan untuk tujuan pemeriksaan dan pemantauan.
|