SIK: Bomba menghadapi kesukaran dalam operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sik Dalam, malam tadi berikutan arus kuat dan laju serta paras air yang dalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian banjir kilat di kawasan itu jam 11.40 malam tadi.
"Banjir kilat pada kedalaman lebih dua meter akibat limpahan air Sungai Sik. Anggota Bomba menasihat serta memujuk penduduk supaya berpindah.
"Kami masih memantau keadaan walaupun paras air semakin menurun dan penduduk yang dipindahkan masih berlindung di rumah ahli keluarga terdekat.
"Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini," katanya.