View: 4926|Reply: 0
|
[Kelantan]
Pertama pindah, terakhir pulang
[Copy link]
|
|
ABDUL Majid (dua kanan) bersama keluarganya dari Kampung Bendang Perol diberi penerangan daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA apabila berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan akan menjadi individu terakhir pulang ke rumah disebabkan kawasan penempatannya paling rendah serta menerima aliran air banjir yang tinggi ketika ditemui di PPS SK Gual Tok Deh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rantau Panjang: "Setiap tahun berlakunya banjir, sayalah orang pertama yang akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan akan menjadi individu terakhir pulang ke rumah." Demikian luahan Abdul Majid Ahmad, 58, dari Kampung Bendang Perol di sini, yang terkenal dengan kampung paling cepat mengalami banjir setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, paling lama dia sekeluarga berada di PPS adalah selama sebulan pada tahun lepas disebabkan banjir teruk dan untuk kali ini, sudah dua minggu dia menjadikan PPS sebagai tempat berteduh.
"Di Kampung Bendang Perol terdapat tujuh keluarga membabitkan lebih 30 orang dan kesemuanya adalah saudara-mara saya.
"Kampung kami memang terkenal dengan lokasi banjir paling awal dan ia sudah diketahui oleh pasukan keselamatan dan disebabkan itu juga muka saya sudah 'sebati' di PPS.
"Setiap tahun, begitulah rutin saya dan keluarga yang akan menghabiskan masa di PPS, paling singkat pun selama seminggu," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di sini.
Abdul Majid berkata, ada kalanya dia berasa malu kepada pihak petugas untuk menginap lama di PPS, namun apa dayanya rumahnya berada di kawasan rendah dan setiap kali banjir, air dalam rumah pun berada di paras pinggangnya.
"Selama 26 tahun saya tinggal di kampung itu dan inilah rutin penduduk di kampung itu yang terpaksa tebalkan muka berada di PPS dalam tempoh agak lama berbanding mangsa banjir yang lain.
"Disebabkan setiap tahun berdepan banjir, saya sudah lali dengan kerugian dan menyebabkan isu berkenaan sudah tidak mampu difikirkan.
"Setiap tahun, barang rumah rosak dan hanya bergantung kepada bantuan daripada pelbagai pihak yang tampil menyalurkan bantuan selepas banjir," katanya yang bekerja sebagai penunggang motosikal tambang.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Yahya Ismail, 60, menyifatkan sudah lali berdepan banjir setiap tahun.
"Berapa banyak kerugian tak payah cakaplah, nak pindah ke tempat lain pun, kita tiada duit jadi terpaksa reda tinggal di kawasan rendah yang sering dilanda banjir.
"Saya enam beranak berpindah sejak dua minggu lalu dan sehingga kini air masih berada di dalam rumah. Tidak tahulah bila boleh pulang," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... dah-terakhir-pulang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|