SUNGAI PETANI: Kebakaran besar di Bukit Selambau malam tadi membabitkan
tiga gudang menyimpan barangan terpakai seperti logam, wayar dan tembaga.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, api berjaya dikawal jam 10.02 malam tadi.
Beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi (PGO) JBPM Kedah sudah menghubungi Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
"Komander Operasi melaporkan, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mematikan bekalan elektrik di kawasan gudang berkenaan untuk memudahkan operasi dilakukan.
"Operasi dibahagikan kepada empat sektor (4 gudang) iaitu sektor pertama, kedua, ketiga manakala sektor empat dimaklumkan tidak berlaku perebakan api.
"Pada mula kami dimaklumkan kebakaran membabitkan sebuah kilang namun hasil siasatan mendapati ia membabitkan tiga gudang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Mohd Hamizi berkata, operasi pemadaman turut membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Sungai Petani, Kulim Hi-Tech dan Yan.
Selain itu, ia turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Selambau, PBS Jeniang, Semeling, Bedong, Sik, Gurun dan Kota Sarang Semut.
"Operasi pemadaman masih dilakukan ketika ini untuk memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya.
"Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu dan punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, asap tebal dan letupan seperti percikan bunga api memenuhi ruang udara selepas kilang kayu terbakar di Bukit Selambau malam tadi.
Malah terdapat video berdurasi 10 saat turut tular di media sosial memaparkan kebakaran itu.