![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231202/sbw-ub02122023-mu-mayat-p1.jpg)
Mayat lelaki yang ditemui terapung di Batang Rajang berhampiran sebuah stesen minyak di Kanowit pagi tadi.
KANOWIT: Mayat lelaki tanpa pakaian ditemui terapung di Batang Rajang berhampiran sebuah stesen minyak di sini, pagi Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit Arrahman Chik berkata, pihaknya mengerahkan sepasukan anggota bomba ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 10.25 pagi.
"Setibanya di lokasi, anggota bomba menggunakan perahu yang disediakan oleh penduduk setempat untuk mengambil mayat yang terletak kira-kira 50 meter dari tebing sungai.
"Mayat lelaki terbabit yang ditemui dalam keadaan tanpa pakaian hanyut dan belum dipastikan identitinya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong ketika dihubungi mengesahkan satu laporan berhubung penemuan mayat tersebut.
"Siasatan awal mendapati mayat berada dalam keadaan tanpa pakaian dan dipercayai sudah meninggal dunia melebihi tiga hari.
"Mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan dipercayai hanyut dari arah Song sebelum ditemui terapung di Batang Rajang berhampiran sebuah stesen di Kanowit," katanya.
Menurutnya, mayat telah dihantar ke Hospital Kanowit untuk proses bedah siasat.
Justeru, beliau memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat SM Amiruddin Ismail menerusi talian 019-8859327 atau Balai Polis Kanowit (084-752222).
|