CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1352|Reply: 0

Ferrari Purosangue di Malaysia

[Copy link]
Post time 23-11-2023 06:22 PM | Show all posts |Read mode


Diperkenalkan di peringkat global pada September tahun lalu, kini SUV pertama keluaran Ferrari, Purosangue, telah pun dipertontonkan secara rasmi di Malaysia. Walau pun rencana bagi pembikinannya mengambil masa hampir empat tahun untuk direalisasikan, namun ternyata hasilnya begitu mengujakan terutamanya bagi pengikut Ferrari yang memang ternanti-nanti kehadirannya.

Purosangue dipadankan enjin berkuasa cukup padu dengan unit F140IA 6.5 liter V12 naturally-aspirated petrol, sama seperti model 812 Competizione. Walau bagaimana pun, ia diberikan sistem kemasukan udara, pemasa serta ekzos yang direka semula khusus untuknya. Ferrari berkata, banyak perhatian diberikan bagi menambahbaik mekanikal dan kecekapan pembakarannnya. Hasilnya, 80% tork maksimum dicapai dari 2,100 rpm, dengan puncaknya sebanyak 716 Nm pada 6,250 rpm.

Manakala hamburan kuasa maksimumnya mampu meledak hingga 725 PS (atau 715 hp) pada 7,750 rpm. Ini cukup untuk menggerakkan jentera prestasi tinggi dengan berat 2,033 kg dari kedudukan pegun ke 100 km/j dalam masa 3.3 saat, dan mampu cecah kelajuan 200 km/j dalam 10.6 saat, serta kelajuan maksimum hingga 310 km/j!

Enjin yang ditempatkan di di bahagian tengah-depan ini turut dipadankan dengan transmisi DCT klac berkembar F1 lapan-kelajuan yang diletakkan di belakang, memberikan agihan berat kereta ini pada nisbah 49:51. Nisbah ini sama seperti model SF90 Stradale dan 296 GTB. Sistem 4RM-S yang dibangunkan untuk GTC4Lusso juga telah dikembangkan lagi untuk Purosangue.




Selain itu, SUV Purosangue juga menerima versi terkini sistem kawalan dinamik kenderaan seperti yang ada pada kereta sportnya, termasuklah Side Slip Control yang kini dalam versi 8.0, F1-Trac dan ABS “evo” dengan Chassis Dynamic Sensor (6w-CDS) enam-arah. Paling menarik, Purosangue diberikan sistem suspensi aktif Ferrari, pertama kali buat barisan model jentera prestasi mewah jenama Itali ini.

Memantapkan lagi prestasinya, ia turut memanfaatkan pengeluar komponen dari Kanada, Multimatic, yang menghasilkan True Active Spool Valve (TASV) System, di mana sistem suspensi ini menggabungkan motor elektrik 48-voltan dengan injap penyerap hentak hidraulik ketepatan tinggi dalam satu sistem bersepadu, sekaligus menjadikannya lebih cekap dan tepat.

SUV Purosangue ini berukuran 4,973 mm panjang, 2,028 mm lebar dan 1,589 mm tinggi, dengan jarak antara roda 3,018 mm. Manakala bentuk umumnya berkongsi sebahagian persamaan dengan GTC4Lusso dari beberapa sudut, tetapi dengan kedudukan yang lebih tinggi dan saiz lebih besar.

Melihat wajahnya, ia agak mirip dengan SF90 Stradale, tetapi ada sedikit ciri berbeza bagi memberikannya sentuhan penggayaan yang unik sebagai sebuah SUV. Antaranya, Purosangue tidak mempunyai gril hadapan tetapi diganti dengan dua bahagian yang mendirikan “wajah”nya, yang dilanjut ke bawah dan menempatkan juga kamera dan penderia parkir. Setiap sudut bonet pula diletakkan lampu nyalaan siang (DRL) di antara dua pasang bukaan udara yang ada.




Bukaan udara yang di atas digunakan untuk mengalirkan udara ke dalam sistem udara ke bawah bahagian aerobridge hadapan. Sementara bukaan di bawah mengalirkan udara kepada sistem penyejuk brek. Lampu utamanya pula terletak di bawah DRL iaitu pada bucu atas bahagian bampar.

Reka bentuk yang ditampilkan ini tentunya bukan sekadar untuk menyedapkan mata memandang, tetapi dilakukan atas sebab aerodinamik. Ini termasuklah menghasilkan sinergi antara bampar depan dengan perincian pada lengkuk roda terapung, yang menghasilkan tabir angin yang secara aerodinamik “menutupi” roda hadapan, mengelakkan aliran udara gelora melintang yang tercetus.

Selain itu, SUV Purosangue menggunakan casis serba baharu, yang direka dari awal, dengan matlamat untuk menawarkan platform yang lebih teguh. Bahagian bawah struktur berkenaan diperbuat menggunakan aluminium aloi berkekukuhan tinggi, sementara kerangka badannya diperbuat daripada beberapa material dari aluminium hingga gentian karbon, dengan memanfaatkan logam kukuh di beberapa kawasan.

Gabungan ini menghasilkan sebuah kerangka casis yang terdiri daripada seksyen tertutup yang disambung secara tuangan, di mana di dalamnya turut menyertakan elemen kepingan logam aluminium. Kesannya, casis berkenaan lebih keras (+30% keteguhan torsional dan +25% keteguhan beam), serta lebih ringan berbanding model empat tempat-duduk yang Ferrari pernah hasilkan, walaupun saiznya lebih besar.

    

Bukan itu sahaja, bumbung gentian karbon dengan penebat bunyi unit tunggal juga antara ciri baharu yang diperkenalkan. Dengan kekukuhan yang sama seperti bumbung kaca, tetapi dengan 20% lebih ringan berbanding bumbung aluminium dengan penebat bunyi. Bumbung kaca elektrokromik juga ditawarkan sebagai pilihan.

Memantapkan lagi penggayaan luarannya, SUV ini turut menerima rekaan rim khusus, menggunakan asas konsep sero yang sama seperti SF90 Stradale — yang membantu mengalirkan udara panas dari dalam lengkung roda. Sebagai standard, model ini menggunakan roda bersaiz 22-inci (dengan tayar 255/35) di depan dan 23-inci (dengan 315/30) di belakang. Cermin belakangnya juga tidak datang dengan pengilap; ia akan “dibersihkan” menggunakan aliran udara yang terhasil di bahagian berkenaan.

Untuk bahagian kabinnya pula, ia cuba ditampilkan seluas mungkin dengan jarak antara roda yang kompak — dicapai dengan rekaan pintu belakangnya yang tersendiri, di mana ia dibuka ke belakang untuk lebih memudahkan. Dengan kendalian elektrik, ia memberi bukaan seluas 79°, sementara pintu hadapan hanya melibatkan bukaan 63° — lima darjah lebih luas berbanding model Ferrari yang lain.




Ruang penumpang belakang pula memadai, dengan ruang kepala dan ruang lutut yang boleh menempatkan penumpang dewasa dengan selesa. Kokpit pemandu pula masih menggunakan ilham daripada SF90 Stradale, dan hampir sama bagi sebelah penumpang, di mana paparan 10.2-inci menyediakan maklumat pemanduan yang diperlukan kepada penumpang untuk merasai sama pengalaman pemanduannya.

Pemandu pula menerima paparan digital sepenuhnya seperti model-model terkini Ferrari. Tombol bulat di konsol tengah untuk memudahkan kawalan berkaitan keselesaan. Kelengkapan standard lainnya adalah termasuk sistem audio Burmester 3D berkualiti tinggi, tempat duduk hadapan dengan fungsi urut serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Material Alcantra yang digunakan pula menggunakan formulasi baharu, dan SUV Purosangue menjadi model pertama di dunia yang menawarkan ini, yang terdiri daripada 68% polyester kitar semula.

Bagi ciri bantuan pemandu dan keselamatan pula, ia diberikan kawalan kelajuan adaptif (ACC), AEB, lampu tinggi automatik (HBA), amaran penukaran lorong (LDW), bantuan mengekalkan lorong (LKA), pengesan titik buta (BSD) dan amaran lintasan trafik belakang (DDA). Bahkan, Purosangue menjadi model Ferrari pertama yang dilengkapi dengan ciri kawalan menuruni curam (HDC).

Untuk harganya, ia akan dijual pada harga bermula RM5 juta termasuk cukai import, jualan tetapi tanpa insurans dan cukai jalan. Pembeliannya di Malaysia turut diberikan waranti penyelenggara selama tujuh-tahun (berkala pada setiap 20,000 km atau setahun sekali tanpa mengira had perbatuan). Menurut Ital Auto, penghantaran pertama bagi Purosangue untuk pasaran Malaysia dijangka pada suku kedua tahun 2024.

https://paultan.org/2023/11/22/f ... 310-km-j-dari-rm5j/









Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

1-5-2024 09:26 AM GMT+8 , Processed in 0.142176 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list