|
Ekoran dakwaannya terdapat lebihan guru bagi mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dibidas pelbagai pihak.
“Kami terkejut dan mendapati kenyataan itu tidak masuk akal,” kata Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) pada satu kenyataan bersama hari ini.
“Ia bukan sahaja tidak profesional tetapi juga tidak bertanggungjawab, berkemungkinan memburukkan lagi kekurangan guru di sekolah rendah Cina,” kata pertubuhan pendidikan itu.
Menurut mereka, sekolah rendah Cina menghadapi kekurangan 4,300 guru yang kebanyakannya guru bahasa Cina.
Kata mereka, Institut Latihan Perguruan Kementerian Pendidikan (KPM) hanya melatih 252 guru bahasa Cina dari 2024 hingga 2028.
“Adakah KPM melatih guru baru untuk mengisi kekosongan jawatan termasuk kekosongan guru mata pelajaran Bahasa Cina,” soal pertubuhan itu.
Dong Jiao Zong mendakwa KPM telah tersilap mengumpulkan statistik mengenai tenaga pengajar di sekolah-sekolah tersebut.
“Dalam pengiraan permintaan guru sekolah rendah, KPM mengkategorikan guru dan menganggap guru bahasa Cina hanya mengajar mata pelajaran bahasa Cina.
"Guru yang mengajar mata pelajaran lain seperti matematik, sains, sejarah, sukan, kesenian dan sebagainya, juga dikelaskan di bawah mata pelajaran berkenaan."
Dalam praktiknya, bagaimanapun, Dong Jiao Zong berkata guru sekolah rendah Cina ditugaskan untuk mengajar pelbagai mata pelajaran dengan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar dan bukan hanya bahasa Cina itu sendiri.
Justeru, statistik yang Fadhlina berikan dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Selasa lalu tidak menggambarkan permintaan sebenar guru di sekolah rendah Cina.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui, Fadhlina telah menulis bahawa KPM menjangkakan lebihan guru mata pelajaran Cina dan Tamil di sekolah rendah vernakular dari 2024 hingga 2029, justeru tiada keperluan melatih guru tambahan untuk mata pelajaran ini.
Dia berkata setakat 29 Sept tahun ini, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina memerlukan 6,319 guru bagi mata pelajaran bahasa Cina, tetapi sebanyak 6,859 jawatan telah diisi. Ini bermakna lebihan 540 orang guru.
Bagi mata pelajaran Tamil di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil pula, dia berkata terdapat lebihan 308 guru selain daripada 1,433 guru yang diperlukan. - CARI
Sumber : Malaysiakini |
|