View: 4665|Reply: 0
|
Chong Wei sudah jangka Zii Jia tolak RTG
[Copy link]
|
|
Chong Wei sudah jangka Zii Jia tolak RTG
Bekas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. - NSTP/FATHIL ASRI
KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sudah dapat menjangka pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak berminat menyertai program Road To Gold (RTG).
Bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu, berkata tindakan pihak Zii Jia yang 'mendiamkan diri' hingga hari terakhir bagi memberi maklum balas kepada RTG seolah-olah petanda bahawa pemain nombor ke-11 dunia itu tidak akan menandatangani persetujuan komitmen (LOC) di bawah program itu.
Sewaktu zamannya bergelar pemain hinggalah menggantung raket empat tahun lepas, Chong Wei berkata beliau tidak pernah lagi melihat mana-mana atlet kebangsaan menolak sebarang bentuk bantuan ditawarkan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.
"Saya tidak pernah dengar atlet tak sokong sebarang program sukan oleh kerajaan, saya percaya ini (Zii Jia) pertama kali. Ketika waktu saya dahulu, jika kerajaan mahu beri sokongan kita gembira dan terima apa yang mereka tawarkan.
"Sebelum ini ada pihak mengadu mengapa kerajaan tak mahu sokong atlet, namun bila ada usaha oleh kerajaan untuk jaga atlet ada pula yang menolaknya," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebagai ahli jawatankuasa RTG, Chong Wei berkata mereka tidak pernah meletakkan sebarang sekatan ke atas mana-mana atlet di bawah program tersebut memandangkan ia merupakan perkhidmatan tambahan bagi membantu atlet menyiapkan diri memburu emas sulung negara pada Sukan Olimpik 2024 di Paris serta edisi 2028 di Los Angeles.
Ditanya sama ada tindakan Zii Jia akan mengurangkan tekanannya sekali gus dapat bermain lebih baik di Paris 2024 nanti, pengurus pasukan badminton RTG itu sama sekali tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana situasi berkenaan sememangnya wujud bagi setiap atlet bertanding pada mana-mana kejohanan mahupun temasya sukan.
"Sekiranya Zii Jia tak masuk RTG pun rakyat tetap akan mengharapkan emas daripada beliau. Saya rasa takkan kurangkan tekanan," katanya.
Semalam, Jawatankuasa RTG dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan Zii Jia tidak terlibat dalam program berkenaan dicapai bersama pasukan LZJ yang mewakili atlet berusia 25 tahun itu menerusi pertemuan secara dalam talian.
Menerusi pertemuan itu, Zii Jia diwakili jurulatihnya Wong Tat Meng serta Liew Daren dan pengurusnya Lee Zii Yi menerangkan pendirian diambil atlet itu untuk tidak menyertai program itu, selain tidak lagi memerlukan bantuan tambahan bakal dinikmatinya.
Walau bagaimanapun, pasukan LZJ telah memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada 31 Oktober lepas berkata Zii Jia adalah satu-satunya atlet yang belum menandatangani perjanjian itu dan diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan komitmen berkenaan yang berakhir semalam.
Antara atlet yang berada dalam program RTG adalah jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong.
Berdasarkan ranking terkini Race to Paris oleh Persekutuan Badminton Dunia ( BWF), Zii Jia kini berada di tangga kesembilan dengan mengumpul 59,076 mata.
Mengikut format, setiap negara dibenarkan menghantar dua wakil bagi acara perseorangan di Sukan Olimpik sekiranya kedua-dua pemain berkenaan berada dalam kelompok 16 terbaik Race to Paris. – BERNAMA
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... a-zii-jia-tolak-rtg
|
|
|
|
|
|
|
| |
|