|
Fazura yang kini aktif berniaga dan bergelar usahawan berjaya ini mengakui dia masih mahu berlakon, namun agak memilih naskhah berkualiti dari segi watak dan jalan cerita.
"Sudah enam tahun juga saya tidak berlakon drama dan memang peminat-peminat pun ada tanya. Cuma, saya akui sekarang memilih sedikit sebab tidak mahu berlakon watak sama seperti asyik berebut lelaki saja.
Foto: IG
"Saya nak melakonkan sesuatu watak ke arah 'women empowerment' (pemerkasaan wanita) yang penuh semangat kerana sekarang ini dah zaman 2023, banyak sudah berubah.
"Wanita pada masa kini ada kekuatan semangat tersendiri. Jadi, kenapa saya pilih 'comeback' berlakon dengan naskhah drama Lelaki Itu sebab memenuhi permintaan daripada semua aspek," katanya.
Difahamkan naskhah Lelaki Itu terbitan Erma Fatima akan disiarkan TV3 serta kini dalam proses penggambaran, termasuk membariskan pelakon seperti Datuk Adi Putra, Nabila Huda, Che Puan Sarimah Ibrahim dan ramai lagi.
"Tahun depan, insya Allah saya akan ada tiga projek lakonan. Tapi, ada yang tidak boleh nak diberitahu lagi. Apapun, kali terakhir saya berlakon drama ialah Hati Seorang Cinderella bersama dengan suami, Fattah Amin.
"Memang tak dinafikan, berdebar-debar juga ketika nak masuk set semula, apabila dengar ketukan di pintu dan ditanya sama ada dah 'ready' (siap) ke belum, terketar-ketar tangan saya sebab tak tahu masih boleh berlakon atau tidak.
"Walaupun saya masih ada berlakon untuk kempen-kempen iklan, tapi berlakon drama tetap berbeza. Tekanannya lebih besar sebab ia akan ditonton seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura. Tapi, Alhamdulillah saya dapat bekerja juga dengan pelakon lain yang hebat.
"Mereka semua juga adalah kawan saya seperti Adi Putra, Che Puan Sarimah, Nabila Huda yang sememangnya dah lama saya berhasrat nak berlakon dengan mereka," katanya.
Mengulas dirinya yang agak selektif dan mungkin perlu 'dipujuk' juga untuk cuba mendapatkan kerjasama, Fazura berkata, dia hanya inginkan watak yang bagus sebagaimana menjurus pada aspek permekasaan wanita.
"Macam saya katakan, naskhah dramanya harus ada kelainan, yang mesti ada elemen semangat wanita dan ia amat penting untuk saya sebab tengok di TikTok dan media sosial lain mengenai masalah wanita.
"Ramai yang mesej (DM) kongsi masalah pada saya dan tanya macam mana nak berhadapan masalah dengan suami dan sebagainya yang mendorong saya untuk bantu nak naikkan semangat wanita-wanita ini.
"Sekarang banyak isu penyondol, tapi macam mana wanita terbabit nak melaluinya. Jadi, mungkin saya boleh mendidik dan bimbing mereka (wanita) di luar sana agar kita kena bermaruah walaupun saya akui tidak tahu bagaimana isteri-isteri ini rasa dan pengalaman mereka,"' katanya.
Tambahnya, "Macam saya kata, kita tak ada dalam 'kasut' mereka dan tak tahu apa yang terjadi. Tapi, saya fikir seorang wanita itu kalau suami buat hal (curang), mudah-mudahan Fattah tidak selingkuh, namun yang paling penting kita tidak boleh salahkan wanita saja.
"Jika pasangan kita pun melayan, ia akan jadi juga. Oleh itu, wanita di luar sana kalau menghadapi masalah ini (suami curang) jangan lantang sangat bersuara, buka aib orang, buka aib diri sendiri, awak mesti bermaruah.
"Kalau suami layan, takkan nak terus pergi serang wanita terbabit saja, kita kena salahkan suami juga. Bagi saya, kena ada sifat bermaruah untuk diri sendiri dan itu yang penting," katanya. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|