Kangar: Ahli Parlimen Muar yang juga bekas Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak sepatutnya mengosongkan jawatannya sebagai Presiden kerana parti itu masih memerlukan kepimpinannya.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, meskipun akur dengan
keputusan yang dibuat oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu, dia melihat Syed Saddiq akan kembali semula mewarnai arena politik tanah air.
"Saya melihat Syed Saddiq ini mempamerkan satu idealisme orang Muda dimana orang muda jika kena hukum dengan secara terhormat
berhenti jadi presiden dan tindakan dia 'bercuti' ini adalah untuk membolehkannya dia memberi perhatian pada kesnya yang dilihat agak berat.
"Namun begitu, bagi saya dia tidak patutlah bercuti sebab kepimpinannya masih diperlukan dalam membawa idealisme orang muda yang mahu melihat satu keadilan sama rata diberi perhatian," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Strategi Pembangunan Wanita Mualaf Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) Negeri Perlis di Kuala Perlis, hari ini.
Katanya, Syed Saddiq adalah wakil rakyat yang memperjuangkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang.
"Idealisme orang muda itu terpaksa dibuat dengan satu pengorbanan yang besar oleh beliau tetapi Insyaallah beliau akan kembali kerana dia masih muda dan tiada masalah untuk dia terus berada dalam arena ini.
"Kami (Perikatan Nasional) menyokong beliau malah saya sendiri menyokong beliau," katanya.
Khamis lalu, Syed Saddiq
dihukum penjara tujuh tahun, dua kali sebatan dan denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).