Shah Alam: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, dilaporkan telah dibebaskan daripada tahanan di Australia selepas ditahan selama hampir sembilan tahun.
Memetik laporan media Sydney Morning Herald, Sirul Azhar menjadi antara puluhan individu yang dibebaskan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu yang memutuskan bahawa bukan warganegara yang tidak dapat dihantar pulang tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.
Sebanyak 92 tahanan kebanyakannya adalah pelarian termasuk beberapa orang lain yang didapati bersalah atas jenayah kekerasan, turut dibebaskan dan dibenarkan tinggal di Australia di bawah syarat khas.
Turut mengesahkan berita tersebut adalah anaknya, Shukri Azam Sirul Azhar yang kini menetap di Australia.
"Dia (Sirul Azhar) bersama saya sekarang, dan saya mengendalikan segala-galanya bagi pihaknya," katanya dalam hantaran e-mel pada Ahad.
Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri disabitkan kesalahan atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Mereka berjaya mengenepikan sabitan itu di peringkat Mahkamah Rayuan pada 2013 namun Mahkamah Persekutuan pada 2015 memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman mati mereka.
Sirul Azhar telah melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusannya. Mahkamah Persekutuan kemudian mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Sirul Azhar telah berada di sebuah pusat tahanan imigresen di Australia sejak tuntutannya untuk suaka di negara itu ditolak pada 2019.
Sumber: Sinar Harian
|