|
Zizan Nin menafikan dakwaan dia menghidap kanser gara-gara berimej botak.
“Saya tak ada kanser, setiap tahun saya jalani pemeriksaan kesihatan dan Alhamdulillah, memang tiada kanser. Cuma kolesterol saya sangat tinggi.
“Gambar saya membotakkan kepala diambil ketika penggambaran filem Roxy dua tahun lepas. Saya sebenarnya kena pakai rambut palsu, jadi rimas dan gatal kepala. Itu yang saya botak terus.
Foto: Harian Metro
“Berkenaan kolestrol, saya kena jaga pemakanan tetapi bila terlebih jaga, itu yang kurus. Sekarang tahap kolesterol saya masih perlu dipantau.
“Saya ada mengambil ubat kolesterol sekitar 2014 tetapi selepas dua tahun, saya berhenti dan jaga pemakanan dengan lebih ketat sehingga sekarang. Susah nak turun kolesterol, sebab genetik mungkin,” katanya kepada XTRA.
Tambah pengarah filem Sazali Meor Coco ini, dia tidak sedih dengan khabar terbabit, sebaliknya menganggap peminat mengambil berat terhadapnya.
“Tak adalah sedih pun bila cerita tidak benar tersebar. Cuma saya rasa mereka ambil berat. Kita tak tahu kan keadaan, sebagai contoh Allahyarham Adibah Noor. Dia sembunyikan sakit sehingga hujung hayatnya.
“Cuma setakat ini, di usia 50 tahun ini, saya sihat sahaja, Alhamdulillah. Tapi itulah, kolesterol memang kena kawal,” jelasnya.
Terdahulu timbul dakwaan Zizan sakit dek kerana penampilannya yang dikatakan susut dan berkepala botak, baru-baru ini.
Malah, ada juga yang mendakwa dia menjalani rawatan kemoterapi sehingga penampilannya berubah.
Dalam pada itu, menerusi filem Sazali Meor Coco yang bakal ditayangkan 16 November hadapan, Zizan mempertaruhkan bakat muda seperti Iman Zulkarnain, Shah Radhy dan Syazani Zikry sebagai pendukung watak utama.
“Saya bersetuju nak arahkan filem ini, tetapi dengan syarat, saya nak merombak skrip asal. Saya tukar beberapa kali untuk memasukkan beberapa isu-isu masyarakat yang mampu membuka mata penonton.
“Produksi menjalani penggambaran selama 25 hari dan sebelum shooting, kami buat latihan selama seminggu. Sebenarnya masa kami jalani penggambaran kita sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya berharap filem pertama arahan saya ini akan mendapat perhatian peminat kaki wayang, Insya-Allah,” katanya. -CARI
Sumber: XTRA
|
|