Baru-baru ini tular sebuah rakaman memaparkan seorang lelaki didakwa melakukan penderaan dengan memukul dan melempar anaknya.
Bagaimanapun, isteri kepada lelaki tersebut tampil menafikan suaminya melakukan tindakan berkenaan.
Shahreen Fazlin Yahya, 27, berkata, maklumat disebarkan di sosial media mengenai kejadian berkenaan adalah tidak tepat dan disebarkan pihak yang tidak mengetahui mengenai perkara sebenar.
Menjelaskan kejadian tersebut, dia mendakwa, suaminya langsung tidak mempunyai niat untuk mendera atau memukul anaknya seperti yang cuba digambarkan dalam hantaran video terbabit.
Sebaliknya, wanita itu berkata, pada waktu kejadian, suaminya hanya turun dari kereta untuk membawa pulang anak lelakinya yang berkeras untuk tidur di rumah datuknya.
"Sebelum rakaman video itu terjadi, saya dengan adik ada pergaduhan sedikit. Itu punca yang jadi bising. Kemudian pada waktu itu juga saya dan keluarga nak balik.
"Cumanya, lepas itu anak saya yang sulung dia menangis sebab nak duduk rumah datuk dia. Jadi saya suruh suami ambil, tapi waktu tu masa dekat luar itu licin baru lepas hujan.
"Masa suami saya nak angkat anak saya tu, dia nak terjatuh. Sebab itu nampak macam terlempar anak saya sampai terjatuh," katanya.
Menurut Shahreen, ketika insiden, dia datang ke rumah berkenaan untuk mengambil dua orang anaknya yang sebelum itu tinggal bersama ibu bapanya pada petang hari tersebut.
Wanita itu turut menafikan bahawa suaminya pernah membuat tindakan memukul dan mendera anaknya.
"Suami saya tak pernah pukul anak-anak. Jentik pun tak pernah," ujarnya.
Pada Jumaat, polis dilaporkan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai memukul anaknya seperti yang tular dalam satu video di TikTok pada Khamis bagi membantu siasatan.
Dalam satu kenyataan, pihak polis berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
Pada masa sama, Shahreen mendakwa bahawa suaminya sudah dilepaskan tanpa syarat oleh pihak polis pada Ahad.
Wanita itu turut berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk memulakan saman terhadap pihak yang merakam dan menyebarkan video tular berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azizul Mohd Khairi ketika dihubungi Majoriti menyatakan masih belum boleh memberikan kenyataan berhubung insiden berkenaan.
Sumber: Majoriti
|