|
Seorang warga emas berjubah di sebuah stesen minyak kelihatan lesu dan tidak bermaya, mundar-mandir seperti tiada hala tuju menarik perhatian seorang lelaki yang kemudiannya bertindak mendekatinya.
“Aku nampak seorang pakcik pakai baju solat berkelakuan pelik. Dia mundar-mandir dengan muka penat. Aku dekati beliau dan cuba berborak.
“Memang sah pakcik ni demensia. Dia memandu kereta sendiri ke Shah Alam,” tulis Faisal Rahim di X.
Gambar Hiasan
Menurut portal MyHealth di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), demensia merupakan sejenis penyakit otak yang progresif.
Ia boleh membawa kepada penurunan dalam menjalankan aktiviti harian dan menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan masa panjang.
Faisal berkata dia kemudiannya cuba mencari telefon bimbit pada lelaki itu untuk menghubungi keluarga atau warisnya, namun tidak dijumpai.
Bagaimanapun setelah diperiksa, dia menemui sehelai kertas yang tertera nombor telefon di dalam kocek jubah warga emas itu.
“Alhamdulillah! Aku telefon nombor tu dan sah anaknya sedang mencari bapa dia sejak pagi tadi. Jadi aku tunggu mereka datang untuk ambil bapa dia.
“Pakcik tu sebenarnya pandu dari Tanjong Karang di Kuala Selangor, kira-kira 70 kilometer dari rumah dia! Keluar rumah waktu Subuh pagi tadi. Balik dari masjid terus ke Shah Alam,” katanya yang terkejut dengan tindakan warga emas itu memandu bersendirian sejauh itu.
Mengulas lanjut, dia dimaklumkan bahawa warga emas itu pernah bekerja di Shah Alam sebelum bersara.
“Jadi, dalam memori dia masih ingat dia pergi kerja. Bayangkan dia mesti keletihan dan kelaparan sejak pagi tak makan dan keliru tak ingat apa-apa
“Kasihan sebab dia kelaparan sangat tadi. Belikan pakcik makanan dan air minuman kotak di stesen minyak. Sampai tak bercakap langsung masa pakcik tu makan,” ujarnya.
Menerusi perkongsian di akaun @acaiijawa, Faisal lega dengan tindakan anak-anak pakcik berkenaan yang sering meletakkan nota di kesemua baju bapa mereka.
Malah dia juga terharu anak pakcik berkenaan sanggup mengambil cuti demi mencari bapa kesayangannya.
“Tindakan anak-anaknya letak nota dalam semua bajunya memang sangat membantu. Aku percaya, itu bukan kali pertama pakcik tu hilang.
“Aku cadangkan, kalau masih benarkan keluarga yang demensia (nyanyuk) memandu. Install je GPS kat kereta atau motor mereka. Tapi sebaiknya jangan benarkan mereka memandu lagi.
“Kalau ada duit lebih, pasang juga tracker macam AirTag yang ada ultra-wideband. Sekarang pun ada Medical Alert ID Bracelets (pakai macam jam). Cuma mungkin mereka tak selesa memakainya sepanjang masa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Faisal turut mendoakan agar urusan semua anak yang menjaga ibu bapa penghidap demensia dipermudah dan bersabar dengan ujian tersebut.
“Ya Allah, jauhkan kami semua daripada penyakit nyanyuk ketika usia tua kelak dan mengelakkan daripada menyusahkan orang lain.
“Penyakit demensia ni memang fungsi otak mereka dah berkurangan ketika itu. Tak boleh nak marah ke apa. Bagi yang masih waras ni kena sabar dan cuba sedaya-upaya bagi mereka selesa menjalani hari-hari terakhir hayatnya
“Kalau yang baru mild demensia mungkin boleh memandu lagi. Kalau dah mula teruk, jangan bagi pandu sendiri sebab bimbang membahayakan nyawa dia dan orang lain,” tambah Faisal di ruangan komen menitipkan pesanan. -CARI
Sumber: mStar |
|