CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1443|Reply: 0

[Perak] Jimat masa, tenaga ke sekolah

[Copy link]
Post time 30-10-2023 05:05 PM | Show all posts |Read mode

Murid Orang Asli memanfaatkan bot sumbangan SSI mengharungi Sungai Perak untuk ke sekolah dengan diuruskan oleh pihak PIBG. FOTO IHSAN Mohd Rezal Shuib.

Gerik: Tinggal di kawasan pedalaman dengan akses pengangkutan yang terbatas menyebabkan isu keciciran dalam kalangan murid Orang Asli tidak berkesudahan.

Isu inilah yang dihadapi oleh 150 murid suku Jahai dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang, Royal Belum, di sini sejak sekian lama kerana satu-satunya jalan menghubungkan perkampungan mereka ke sekolah, memerlukan anak kecil ini merentasi Sungai Perak sejauh berpuluh kilometer (km), setiap hari.

Menurut Guru Besar SK Sungai Tiang, Mohd Rezal Shuib, terdapat tiga pecahan kampung kecil di penempatan Kampung Sungai Tiang.

"Pertamanya, Kampung Sungai Tiang itu sendiri sebagai penempatan utama, di mana di situ juga terletaknya SK Sungai Tiang.

"Kedua, Kampung Klewang yang jaraknya dari Kampung Sungai Tiang adalah kira-kira 20km mengikut perkiraan laluan sungai. Murid dari Kampung Klewang akan berulang-alik setiap hari ke Kampung Sungai Tiang menggunakan bot disediakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (JAKOA).

"Jangkaan masa perjalanan menggunakan bot untuk sampai ke Kampung Sungai Tiang adalah kira-kira 30 minit. Kemudian, murid perlu berjalan kaki kira-kira satu kilometer dari tempat hentian bot ke SK Sungai Tiang dengan anggaran masa perjalanan lebih kurang 10 ke 15 minit," katanya.

Menurutnya, sebahagian murid di sekolah itu berasal dari Kampung Sungai Kejar yang terletak sejauh 50km dari sekolah dan perjalanan menaiki bot mengambil masa lebih satu jam.

"Bagi keselamatan murid, wakil guru akan menggunakan bot milik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak bagi berulang-alik dari SK Sungai Tiang ke Kampung Sungai Kejar setiap hari bagi menemani murid.

"Bot untuk pergerakan murid dari Kampung Klewang ke sekolah ditanggung dan disediakan sepenuhnya oleh pihak JAKOA.

"Bagi pergerakan keluar masuk guru dari sekolah ke Jeti Awam Pulau Banding pula adalah dengan bot sewaan sama ada milik pengusaha bot pelancongan atau pun penduduk kampung yang mempunyai bot persendirian," katanya.

Atas dasar tanggungjawab sosial korporat serta menyahut agenda Santuni Orang Asli yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 hasil cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) tampil menyumbangkan sebuah bot dengan enjin sangkut 40 kuasa kuda bagi kegunaan murid serta 16 guru SK Sungai Tiang.

Berkat sumbangan berkenaan, Mohd Rezal berkata, prestasi kehadiran murid ke sekolah terbukti bertambah baik sekaligus mengurangkan kadar keciciran pelajaran dalam kalangan murid Orang Asli.

"Pihak sekolah sangat bersyukur dan berbesar hati atas sumbangan bot yang diberikan SSI kerana itulah kenderaan utama bagi pergerakan di perkampungan dalam Royal Belum ini.

"Tiada akses jalan darat yang boleh dilalui untuk sampai ke kampung dan sekolah, kami hanya bergantung sepenuhnya kepada jalan air.

"Sumbangan bot ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan terhadap guru dan sekolah terutama dari aspek bayaran sewaan bagi pergerakan melibatkan guru dan murid bagi menghadiri program atau pertandingan yang dianjurkan di luar," katanya.

Tambahnya lagi, ia turut mempermudah urusan pihak sekolah terutama ketika berdepan perkara kecemasan dan kadar segera kerana guru dan murid tidak lagi perlu bersusah-payah mencari dan menunggu bot sewaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Zulkefli Abdullah berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk membantu murid serta pihak sekolah selepas meneliti kesukaran dihadapi anak Orang Asli bagi mendapatkan akses pendidikan di sekolah dalam kawasan pedalaman itu.

Katanya, bot serta jaket keselamatan dipertanggungjawabkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi menguruskan operasi bot dan keselamatan murid, manakala kos petrol ditampung oleh JAKOA.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... a-tenaga-ke-sekolah
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-5-2024 12:12 PM GMT+8 , Processed in 0.110301 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list