|
Norhayati Zulkapli, isteri kepada Allahyarham Badrul Muhayat berkata suaminya sempat menghantar WhatsApp terakhir kepada salah seorang anaknya sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Suaminya juga memintanya memindahkan duit kepada anaknya pada pukul 7.30 pagi tadi.
Menurut Norhayati, dia tidak menyangka arwah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya selain menyifatkan aktor itu suami yang baik serta tiada galang ganti.
“Tak sangka jadi macam ini pagi ini. Kali terakhir bercakap dengannya pada pukul 7.30 pagi, dia suruh saya transfer duit kepada anaknya dan sempat WhatsApp anaknya.
“Abah penat, abah nak sambung tidur balik. Itu kata-kata terakhir daripadanya sebelum saya kejutkan dia buat kali kedua pada pukul 10.50 pagi tadi dan ketika itu, keadaannya sudah tidak normal.
“Badannya ada tompok-tompok darah (seakan darah beku), tangan longlai, dahi sudah sejuk, cuma dada dia panas sikit. Saya jerit panggil rakan-rakan dalam homestay sebelum hubungi ambulans,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, petang tadi.
Norhayati memaklumkan kematian Badrul Muhayat disahkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di inap desa berkenaan.
Meski masih terkejut dengan kehilangan besar itu apatah lagi baru enam bulan mendirikan rumah tangga , Norhayati reda dengan pemergian suami tercinta
“Kami ke mana-mana berdua. Memang dia (arwah) dah lama hidap kencing manis. Sebelum kenal saya, badannya kurus sangat. Selepas kenal, dia mula berisi sikit.
“Saya pastikan dia tak makan manis dan ambil ubat kencing manis. Memang sedih, Allah pinjamkan saya insan yang baik, dia tak nak susahkan saya. Dia selalu doakan orang panjangkan umur dan murah rezeki.
“Walau sedih, saya reda dengan pemergian suami. Wajah arwah seakan tersenyum dan nampak berseri,” katanya.
Norhayati turut memaklumlkan jenazah Badrul Muhayat akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda di Sentul, Kuala Lumpur pagi esok.
“Jenazah akan dibedah siasat, dimandi dan dikafankan di Hospital Seberang Jaya petang ini.
“Sebaik selesai, jenazah dijangka dibawa pulang ke Kuala Lumpur selepas solat Maghrib,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam pagi ini.
Aktor yang mendirikan rumah tangga dengan Norhayati pada 18 April lalu itu terkenal dengan filem Harry Boy pada tahun 1991 dan Riang Tirana (1990).
Sumber: HibGlam |
|