CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1910|Reply: 0

[Perlis] Keluhan pesawah yang tiada berkesudahan

[Copy link]
Post time 26-10-2023 02:39 PM | Show all posts |Read mode

Masih banyak isu pesawah yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. - Gambar hiasan



TERDAPAT kira-kira 54,886 pesawah di Kedah dan Perlis yang membanting tulang mengerjakan tanah bendang mereka untuk memastikan keterjaminan bekalan beras tempatan negara sebanyak 60 peratus.

Walaupun sejak bertahun-tahun dahulu pelbagai isu padi muncul dan terbaharu harga padi tidak dapat diselesaikan, namun mereka masih setia memerah keringat di sawah demi 'memberi makan' kepada rakyat Malaysia.

Berdasarkan rekod liputan oleh akhbar ini, pada November 2019, kira-kira 500 petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di kawasan Tunjang, Kedah tidak dapat melaksanakan kerja menabur benih padi di sawah disebabkan terputus bekalan.

Pada Oktober 2020 pula, lebih 100,000 pesawah kecewa apabila terpaksa berhadapan dengan kelewatan dan eksploitasi harga benih padi yang tidak berkesudahan.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, perkara itu berlaku pada setiap musim penanaman padi.

Pada Oktober 2021, timbul pula isu harga benih padi apabila PeSAWAH menyeru agar subsidi benih padi yang diterima oleh pengilang diberikan kepada petani untuk menyelesaikan masalah harga benih padi.

Ini kerana petani terpaksa membeli benih pada harga mahal apabila kilang dan peruncit menjual benih padi dengan harga melebihi RM35 iaitu sekitar RM40 hingga RM50 bagi satu beg seberat 20 kilogram (kg).

Kemudian pada April 2022, Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri Kedah, Abdul Rahman Tajudin memberi jaminan bekalan benih padi sah masih stabil dan boleh diperoleh dari mana-mana peruncit yang diberi kebenaran oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras.



Ingatkan sudah reda isu benih padi, namun terbaharu pada Jun lalu, PesaWah sekali lagi bersuara mendakwa kualiti sebahagian benih padi yang dibekalkan kepada pesawah mengecewakan dan langsung tidak bercambah apabila direndam air.

Pemerhatian yang mereka jalankan juga mendapati terdapat benih lama yang dijual kepada pesawah berusia lebih tiga bulan daripada tarikh diproses.



Malah turut berlaku kejadian di mana benih baharu namun tidak bercambah apabila direndam.

Belum reda isu benih padi, awal Oktober ini, dikejutkan pula dengan harga belian padi yang turun mendadak kepada harga lantai RM1,200 per tan metrik selepas kira-kira dua minggu dinaikkan kepada RM1,700.

Apabila tiba-tiba harga padi diturunkan kepada harga lantai, pesawah terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk memulakan musim baharu penanaman padi.

Setelah gesaan demi gesaan kepada kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 telah mengumumkan peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik demi membantu pendapatan pesawah.

Walaupun masih ada rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan pesawah dengan penetapan harga berkenaan, namun pesawah tetap akur.

Terbaharu, pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan penyelarasan harga kawalan maksimum baharu bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) di seluruh Semenanjung berkuatkuasa serta merta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dengan langkah itu harga di pintu gudang syarikat pengeluar benih padi sah (BPS) diselaras daripada RM31 kepada RM40 per kampit 20 kilogram.

Di peringkat peruncit pula ia diselaras daripada RM35 kepada RM45 per kampit 20 kilogram. Jika ingin dikupas isu industri padi ini secara menyeluruh, masih banyak yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Namun apa yang membanggakan penulis, betapa tabahnya pesawah di negara kita, walaupun isu demi isu muncul dalam industri padi, mereka tetap mengerjakan sawah.

Walaupun turun berdemonstrasi, tetapi tetap pulang mengerjakan sawah kerana mereka sedar tanggungjawab mereka sangat besar sebagai penyumbang utama sektor makanan negara.

https://www.sinarharian.com.my/a ... -tiada-berkesudahan

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 03:31 PM GMT+8 , Processed in 0.062067 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list